Gambaran Bangsa Yang Calar-balar

ADA petanda bahawa sebagai bangsa kita mulai menggelonsor. Bayangkan hampir selama enam dekad merdeka, kita masih terus menjerit sakit. Terakhir, kita mula tidak lagi mengenal sempadan haram halal—bukan soal perjudian saja. Sebelum itu pun, siasahwan kita pernah—malah masih—merongrong Akta Bahasa. Lebih awal lagi, kita berjaya menazakkan tulisan Jawi. Dan, dengan kelulusan lesen judi kini nyatalah kita sedia apa saja, termasuk mencemari ajaran agama.(Tunggu natijah rasminya 26 Jun ini!).

Pendeknya, kita tidak saja tergamak memborosi dana negara (dengan hadiah-hadiahan mewah demi kempen pilihanraya), malah kita seolah menggalakkan manusia dan barangan agar cepat bertanda harga—agar semua mudah dibeli, termasuk para MP.

Kita pernah mencungapkan nafas sekolah agama rakyat dengan dakwaan kononnya di situlah mercupnya tunas pengganas. Malah lebih berdarah—dan sangaat bersejarah—sebelum itu, kuasawan bangsa sendiri juga pernah memacetkan pendakwah Islaminya dengan ratusan peluru selepas mewajahkan mereka sebagai penganut ajaran sesat. (“Masihkah Kau Ingat” peristiwa Memali?)

Dalam aliran peristiwa kacau-bilau itu, seolah tanpa sedar, kita turut galak melahirkan penggayut kuasa dan pengejar harta yang sebahagiannya memang tuli rasa. Malah kita seolah mendorong mereka agar cepat hanyut dan lekas lemas dalam kalutan murni-cemar dan halal-haram masalah asas.

Oleh kocakan peristiwa yang penuh gamam ini, sesetengah kuasawan tetiba menjadi terlalu berkuasa, terkadang ke tahap menyegankan perlembagaan negara. Siapa yang menakik keluhuran kuasa raja, dan siapa pula yang seolah mengongoi kerana rajanya kini kurang dihormati? Bukankah kuasawan yang sama?

Pada aras lain, agihan kekayaan yang sangat bergelombang kini payah diwarasi. Mula terserlah kini yang mendadak kaya adalah di kalangan kuasawan sendiri.

Malah dengan perubahan mendadak sesuatu takrif, khazanah sejarah pun tampaknya hampir terjual—“Masihkah Kau Ingat” nasib bangunan Universiti Malaya? Gambaran calar-balar ini kini tampaknya sangat terkesan pada UMNO (diakui sendiri oleh mantan kuasawan adinya). Kerana parti itu diyakini tidak dapat membela bangsanya, maka sangatlah diperlukan Perkasa dan Gertak, hujahnya. Jadi, UMNO?

About samadsaid

Writer
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

8 Responses to Gambaran Bangsa Yang Calar-balar

  1. R.Hareez says:

    Jika Melayu bersungguh mahukan Islam, masalah ini dapat diselesaikan.

  2. saya gusar benar dan takut dengan kegelojohan para pemimpin sekarang ni…memang takut.

  3. sastraboy says:

    terbayang-masa depan-takut-dalam diam-habis kita-habis!

  4. benar pak samad, untuk ke puncak dan bunga nan mekar, jagalah akar.

  5. kita masih perlukan perlembagaan untuk lindungi hak melayu, nampak sgt lah melayu tu takde ape2 kalau perlembagaan takde. mcmane kalau perlembagaan kite diubah,maka kedudukan dan status melayu turut berubah jugakah? org arab,jepun ,amerika dan yahudi… tak perlukan perlembagaan untuk menjelaskan kekuatan mereka. soal bangsa2 ni sbnrnye, untuk makluman semua,tidak akan ditanye dlm kubur. jd tak payahlah nak taksub sgt, nanti die tanya, MARABBUKA? ape mau jawab? i adore pak samad big time, nicely put.

    • sorg ustaz prnah tnye…
      mampukah kita sbgai khalifah ALLAH d muka bumi ini utk mengangkat Al-quran di atas perlembagaan…???

      sekurang-kurangnya ada juga org yg blh brfikir mngenai agama dan bangsanya..
      kerana “fikir nabi adalah fikir umat”

      kita…???sbgai “nyamuk”

  6. Muhammad Effendy Zulkarnain B. Mohd Najib says:

    waktu nya sudah sampai untuk menyahtinja kekotoran yang kian mengalut-malut pementasan ini.. sudah sampai waktunya kaki2 tangan2 pejuang bangsa direnggangkan untuk mengharungi liku2 perjuangan yang yang kian haruk pikuk ini…

  7. Aku Statik says:

    Kekagetan jiwa hamba ini melihat betapa pemimpin pemimpin negara bersandiwara tentang perjuangan bangsa.. tidak wujud lagi pemimpin bangsa yang benar benar ikhlas dengan perjuangan ini..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s