Selepas Ini Tentunya Sejarah Lagi

SAYA bermula sebagai seorang pelukis sebenarnya. Antara puisi awal saya (“Ke Teluk Jernih Berlabuh Kasih”) terilham daripada lukisan pelukis Effendi. Antara guru lukisan saya pula: C. Mahat—pelukis terkenal Singapura. Di sebuah gerai di Orchard Road, Singapura, dalam dekad Limapuluhan, saya sempat menjual dua buah lukisan.

Sastera kemudiannya mengalahkan lukisan dalam dunia seni saya. Makanya, sangat lama lukisan tertimbus dalam khazanah bakat saya sehinggalah pada suatu senja empat tahun lalu sekelompok pelukis—antaranya kurator Nur Hanim Khairuddin—terjengah beberapa lukisan saya terhempit di bawah longgokan buku.

Selepas itu sejarah.

Kini, sekelompok 65 buah lukisan saya sedang dipamer di Melaka selepas 105 buah terpamer di Balai Seni Lukis Negara Kuala Lumpur. Pameran “Kata Luhur” sebenarnya menyambung pameran “Daerah Samad” di Galeri Petronas tiga tahun lalu. Sudah ada yang saja-saja bertanya bila pula pameran lukisan saya yang ketiga? Lima tahun lagi, jawab saya.

Kenapakah saya perlu menulis dan melukis tentang “Kata Luhur”?

Kerana, dunia siasah kita sedang sangat dicemari. Pemimpin merugikan berbilion ringgit harta negara masih sempat memboyotkan keluarga dan kroni masing-masing. Seniman tidak bercakap hanya dengan kekata. Warna, juga lidahnya,—terkadang terbenam misterius, tapi terus nyaring berpesan. Di antara kelompok lukisan dalam pameran “Kata Luhur” di Melaka itu ada satu siri berjudul “Pemimpin Catakserukin” yang terbangun daripada puisi saya berjudul senama. Beberapa lukisan saya itu telah “ditempah” atau “dibeli” menjadikan saya—barangkali—bagi kali kedua akan dilimpahi rezeki lukisan lebih daripada royalti tulisan.

Jauh sebelum menghairahi dunia lukisan, saya memang peminat buana tersebut. Buku saya seputar lukisan banyak—antaranya Kline dan Motherwell. Malah, lukisan yang saya beli pun banyak. Saya gemar dikelililingi lukisan kerana karya-karya itu bercakap kepada saya tentang suka duka zamannya. Daripada lukisan selalunya saya dengar bisik keindahan batin yang menjeritkan wajah penderitaan zahir.

Itulah lebih kurang keadaan bangsa Melayu yang kini masih terjerit, anehnya, setelah negaranya di”perintah” oleh enam orang Perdana Menteri Melayu sendiri!

Selepas ini tentunya sejarah lagi!

About samadsaid

Writer
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

8 Responses to Selepas Ini Tentunya Sejarah Lagi

  1. janah says:

    terpahar🙂

  2. budakkilang says:

    Kita sering mengingat lupa saja…

  3. mamat says:

    kata kata yang agak berat tapi benar. namun macam biasanya yang terus itu kadang kadang kabur pengelihatanya kerana nak lihat di hujung. Yang bengkang bengkok tu nampak di kelilingnya kerana hujungnay langsung tak menentu..

  4. mamat says:

    saya meminati lakaran pak samad dan saya tidak pandai berbahasa atau bersajak, harap pak samad dapat melihat lakaran saya pulak …

  5. mankuchai says:

    Salam

    Jika umur panjang sejarah pasti berulang!

  6. seni saya melalui rakaman lensa kamera. melalui foto juga sukar digambarkan dgn kata-kata – ‘a picture worth a thousand words’

  7. muhammad says:

    salam

    orang cakap ,

    ” jadi orang seni tak akan gagal..jadi sebegini pun,sudah dikira cemerlang”
    🙂

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s