Kalung Permata Berlilit Falsafah

AWANG Bakhil sangat menyerlah dalam drama muzikal karya Usman Awang. Pak Utih juga megah. Misha Omar sebagai Dara dan Razali Hussain sebagai Uda—masing-masing—menghurai kisah penuh pilu, penuh malu, tapi syahdu. Sebab, kisah mereka tampaknya sama benar di zaman kuno dan di zaman kini. Apalah ertinya emas sesaga.

Disedari atau tidak, yang menggeletar—pada setiap malam pementasan—tentu sajalah pemegang dana pementasan—Haslina Usman—anak seniman yang cekal dan bangga dapat melestarikan khazanah seni ayahnya.

Pada malam kedua terakhir pementasan (malam saya menontonnya) hampir serentak ketika menghayati persembahan itu, saya kerap terkenangkan Usman Awang—terlihat dirinya khusyuk di meja cipta, kemudian dirinya resah di khemah mogok.
Drama “Uda dan Dara” adalah bauran ketenangan dan keresahan itu.

Memanglah benar yang ingin dipamerkan dunia real Usman Awang—inti pengalaman seorang seniman; visi luhur seorang pejuang. Maka di Istana Budaya pada malam itu terimbaslah dunia kuno yang meresah di tengah dunia kini yang mendera.

Usman memberitahu: Wang boleh membeli segala—tentulah termasuk kuasa. Dia mengingatkan cinta luhur hanya idaman. Mata bening seorang Dara, tumit tegap seorang Uda memang sempat menjadikan drama muzikal itu sebuah kisah penuh pesanan: Beradab hidup zaman purba, berhajat adil sesama manusia terkadang mudah dicemari tangan pengkuasa. Di atas pentas moden dunia purba itu terkerdip iktibar bahawa yang dikejar masih mudah disambar orang; yang tercicir tak pula mesti sempat dikutip sendiri.

Nyatalah pepatah petitih, syair dan pantun, selesa bersanding membenihkan kalimat yang sangat memujuk di atas pentas yang indah, gagah, juga—anehnya—resah. Masyarakat Pak Utih (orang tua yang sangat falsafi) terbayang hadir di tengah khalayak peniaga yang jarang sedacing; di tengah penghujah yang tidak sedia sekata. Masyarakat ini bakal berlinang air mata, ramal Pak Utih. Begitulah tampaknya tertulis kitab seni seorang seniman, kalung permata berlilit falsafah—Uda dan Dara.

About samadsaid

Writer
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

4 Responses to Kalung Permata Berlilit Falsafah

  1. Abu Alex says:

    apa harapan generasi baru nak jadi pejuang? ini waktu lain ini dunia lain, kami dari mula diberi kehidupan mewah, dalam pinggan sudah ada lauk dalam mulut disuap nasi, tiada susah mencari maruah menuntut hak, makian kami bila jalan selalu dibesar dibaiki, sedih kami bila yang disokong tersingkir dari akademi fantasi!

    apa harapan kami?

    • Cuma Manusia says:

      Waktu yang lain;dunia yang lain akhir zaman,cuma kita tidak sedar kita di permainkan..lauk tersedia di pinggan,dan kita masih menunggu di suap nasi..orang lain memerhati kita masih menurut generasi yang kita anggap hakiki..berkata tentang maruah dan hak,cuma minda masih di dalam kotak..jalan yang di baiki masih ada yang memaki..sedih melihat yang di sokong tersingkir dari akademi fantasi…disebabkan terlalu kasih kita lupa tentang realiti…

      Harapan kita cuma untuk beringat tentang yang nyata…

      ~Maaf saya tidak pandai berkata-kata..saya cuma ingin mencuba..

  2. ponpakya says:

    terkadang masih ada yang turut berjuang tapi tidak punya tau tidak perasan akan ruang. http://1wasilah.blogspot.com

    • Cuma Manusia says:

      Pejuang yang ada masih berjuang…tidak kesampaian kerana kuasa menakluk hampir seluruh ruang…dunia kini cuma ada nama dan wang…Lupa untuk berjuang seperti Usman Awang…

      ~Bukan untuk menunjuk pandai cuma ingin bersantai…Maaf jika kata salah di semai..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s