Mereka berhak tahu—berhak bersuara

BERADA di Masjid Negara tiga hari lalu—Khamis—saya terkejut dengan kehadiran ramai pelajar yang bersedia untuk bersembahyang hajat. Sementara menunggu waktu, ramailah yang bertanya khabar dan sebab kehadiran saya di masjid. Setengahnya saya menjawab secara jenaka: Bapak kini sudah melebihi 75 tahun.Usia sangat darurat!

Tapi, apa yang tidak tersangkakan ialah pertanyaan di seputar kedudukan (atau kedirian) bangsa Melayu. Seorang pelajar tegas bertanya: Benarkah bangsa Melayu sedang terancam, bapak?

Berada di dalam masjid—apalagi Masjid Negara—pertanyaan itu sangat luhur.

Saya menasihati kelompok tersebut supaya belajar sesungguh mungkin, dan supaya mewakilkan saja masalah kemacetan bangsa itu kepada mereka yang lebih “berpengalaman” dan “bersejarah”. Kita tidak “wajar” bersiasah dalam masjid. Tapi, ketika berjalan pulang ke stesen elarti untuk ke Bangsar Utama, saya mula terdengar semula pertanyaan: “Benarkah bangsa Melayu sedang terancam, bapak?”

Sebenarnya, akhir-akhir ini memang itulah yang sedang ghairah digemakan oleh mantan-mantan pemimpin bangsa. Jika kuasa terlepas daripada Barisan Nasional (setidak-tidaknya begitu yang dibayangkan), orang Melayu akan kepupusan kuasa dan martabat.

Saya terfikir juga betapa selama-lama ini—lebih 50 tahun—Barisan Nasional-lah yang memerintah (dengan Umno sebagai induk kuasa). Tidak terhakiskah kuasa dan mertabat bangsa Melayu? Tidak dilesukankah bahasanya sendiri? Dan tidak dipupuskankah ekuiti bangsa Melayu ke paras yang sangat menghina? Malah parti terkukuh Melayu—Umno—itu juga mulai diragui sendiri kemampuannya oleh mantan-mantan elita kuasanya. Tidakkah Perkasa mula dicanangi sebagai “pengganti” utuh bagi Umno? Ini baru pertanyaan atau jawapan kulitan—belum pertanyaan dan jawapan isian. Tapi, sebagai permulaan, saya berharap sangat anak-anak yang terserempak dengan saya di Masjid Negara itu akan membaca dan menghadamkan “peristiwa” ini. Bukankah mereka nanti yang terpaksa membayar segala beban hutang dan beban dosa pemimpin negaranya? Mereka berhak tahu—berhak bersuara.

About samadsaid

Writer
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

14 Responses to Mereka berhak tahu—berhak bersuara

  1. Abu Alex says:

    Ular menyuruh memerang masuk dalam lingkaran; kata dia, “cepat, buaya di air menunggu mahu makan kamu”.

    Memerang memandang belakang merenung air tenang; fikir dia, “si ular keparat ini fikir dia siapa? darat dan air ini tempat aku!”

    Ular lepaskan lingkaran, beredar.. cari si bodoh yang lain untuk diperdaya.

    Siapa?

    Jawapan ada pada anda..

  2. Abu Alex says:

    ..yang kurang “berpengalaman” dan “bersejarah”.

  3. Seri Serodja says:

    itu lah yang di takutkan tapi yang benar belaka..bukan momok momok yang hilang di telang lampu kalimantang

  4. Samsudin Abu Bakar says:

    Sekurang-kurangnya aku yang kerdil ini bersependapat dengan bijaksana ini!!

    Telah aku luhurkan semuanya pada anak-anakku yang kini berada di menara gading
    untuk mereka sama-sama memikirkan tentang masa-depan negaranya.

    Pak Samad, terima kasih diatas keluhuranmu.

  5. liza says:

    kekadang kita pun jadi hairan, mengapa kini baru diwar-war benda ni… selama ni orang Melayu tidak terancam kemelayuannya ke.

  6. abu bakar sharif says:

    sebenar nya sudah lama keris keris pusaka mereka tidak memberi bekas karat nya semakin menebal..bisa….nya telah hilang..

  7. KTB says:

    Salam Bapak.
    Siapa sebenarnya Melayu yang terancam itu?

  8. asuhara says:

    atau kah kerana dari dulu sering di dendangkan lagu warisan ( anak kecil main api….) maka ia menjadi doa yang sudah terlihat kesannya ya bapak? kerana daripada 7 rangkapnya hanya 2 yang bersifat positif…?

  9. ahmad says:

    Sebenarnya UMNO yang hilang melayunya,dari namanya sudah jelas,kemelayuannya memang benar-benar terancam.

  10. pewaris panji says:

    bukan silap hang tuah menobat melayu,
    mahupun cendiakawan memartabat bangsa,
    sedangkan keris bersisi berlok,
    hanya mainan beda petanda,
    dengan jurus sebagai pedoman,
    maka terjadi bertarung,
    yang kuat menggagah,
    dan si lemah terkulai,
    kerana yang terancam dan diancam,
    adalah sama,
    si pengancam….

  11. nurbaiyah says:

    sayu sungguh membaca catatan ini.

  12. Ahmad Syafiq says:

    Jika UMNO hilang kuasa, bukan bermakna kuasa orang Melayu terancam. Yang terancam hanyalah pemimpin UMNO yang bermain retorik dalam menjaga bangsa Melayu, tetapi pada masa yang sama merompak harta rakyat yang bukan miliknya. Itulah sebabnya sesetengah pemimpin UMNO ingin menakutkan orang Melayu untuk mengundi UMNO supaya mereka boleh terus merompak harta rakyat tanpa mereka sedari.

  13. kurang "berpengalaman" kurang "bersejarah" says:

    sekadar terpanggil untuk memberi respon,

    si tua jelas korup nya,
    si muda ada bayang2 canggungnya,
    bagaimana harus diadili untuk dijadikan yang teratas?

    pada pandangan mata yang kurang “bersejarah” & kurang “berpengalaman” ini,

    si tua harus luruskan hati, tegakkan iman,
    si muda harus memikir dalam, bukan hanya tahu menempelak, membangkang segala

    jangan gunakan perkataan keramat itu jika sekadar jadi alas keinginan diri yang tidak pernah puas!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s