Janji Haiwan Depan Tasik Senja

LANGIT di ufuk sayup beberapa kali dikenyiti kilat tanpa dentum. Merjah yang meneliti khalayak di hadapannya tampak resah sehinggalah tiga ekor pipit hinggap serentak di atas atap pondok usang di kirinya. Tasik di belakangnya cantik senja itu.

“Kita sudah terlambat,” kata Merjah. “Bolehlah kita mulai sekarang.” Terdengar suara setuju serentak. Lalu, Merjah pun memberitahu mereka bahawa pertemuan mereka kali ini adalah keputusan pertemuan lalu. Dulu mereka bersidang darurat kerana bahaya ciptaan Tasik Kenyir yang mengorbankan jutaan haiwan. Kini tampaknya masyarakat mereka bakal terancam lagi, jelas Merjah. Tasik cantik yang selama ini tersembunyi akan dirampas manusia. Masyarakat haiwan akan terdera.

“Kerana itu, kita perlu bertanding kali ini. Bukan insan saja yang berhak mewakili kawasan dan jenisnya. Kita juga berhak sama di bumi Tuhan ini. Tapi, kempen dan janji kita biarlah waras,” jelas Merjah. “Kita jangan contohi tipu-helah dan janji madu manusia. Kebanyakan mereka berjanji untuk dilupakan.”

Lalu, haiwan yang sebahagian merak sebahagian gajah itu pun menjelaskan betapa pemimpin insan berjanji dan enak melupakannya. “Saya dengar selama 50 tahun merdeka pemimpin manusia itu tidak pun pintar menjaga harta ekuiti kaumnya. Malah Akta Bahasa kaumnya sendiri pun dipersendanya,” tegas Merjah. “Ternyata, insan memang jenis sangat pelupa. Yang berulang diingatkan selalunya hanya janji baru—janji lama pergi jahanam! Dan amat malang, masyarakat insan juga hanya turut mengingat yang baru—janji lama tidak terisi seolah sudah pun terisi. He, he!”

Lalu, Merjah mengingatkan masyarakatnya jangan mencontohi kelupaan sebegitu. “Kita hidup dalam dunia sedar bukan dalam dunia lupa,” katanya. “Biarlah janji kita janji sekarang. Dan, kita mengisinya pun sekarang—sebaik dipilih.” Dan Merjah pun mendedahkan tentang pemimpin insan yang begitu ghairah melambakkan janji selama lima dekad dan kini mengeluh pula konon masyakarat insannya itu sedang terancam.
“Kini mereka berjanji lagi dan masyarakatnya akan terlupakan lagi janji yang tidak terisi itu. Memang kaum mereka mudah lupa. Kaum haiwan jangan begitu,” ujar haiwan yang separuh merak separuh gajah itu.

About samadsaid

Writer
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

5 Responses to Janji Haiwan Depan Tasik Senja

  1. Samsudin Abu Bakar says:

    Tidak terlena dan terlupa akan janji berdekad lamanya

    mereka alpa atau sengaja!

  2. Abu Alex says:

    Cincin perak darinya Bugis
    Tempat anak tukang Melaka
    Tunduk menulis sampai menangis
    Dakwat bercampur si air mata.

    (Petikan Karya Agung: Pantun Melayu)

    Ini patutnya pantun orang bercinta, pantun orang merindu.

    Sambut saya yang kurang faham ini..

    kering sudah air mata

    kenang untung nasib bangsa

    sorak sorai serak suara

    nak pulang kampung tiada
    😥

    sekam penuh bara

    hanya tunggu masa

    digadai orang dipercaya

    katanya dia pembela
    😦

    datang pula ‘perkasa’

    mahu ganti ‘pembela’

    busuk itulah juga

    cuma tukar kepala

    (tukar rupa, tukar bahasa.. tubuh ‘berlengas’ juga)

  3. Mohd Rous Mohd Din (ABABILL) says:

    Senja II

    Senja
    yang tiada malam
    Malam
    yang tiada paginya
    Di manakah
    dipanggil esok?…

  4. ijan says:

    mengapa begini…kerana manusia sendiri lupa bahawa dirinya juga mamalia…

  5. nik zawawi says:

    Lupa ? atau sengaja dilupakan tentang bahasa Melayu yang telah di Malaysiakan….

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s