Antara “BukuWajah” dengan “BukuQalbu”

Seperti petang minggu lalu, petang itu juga kawasan Masjid Negara dikabusi asap nyamuk. Pedih tapi, saya tidak tersedar kerana lebih terbenam dalam “The Facebook Effect”. Buku David Kirkpatrick mendekatkan saya kepada Mark Zuckerberg—mahasiswa sangat muda yang sempat merombak sistem perhubungan manusia.

Sebelum itu, selang sehari, bersandar di sebuah tiang dalam masjid bersejarah itu, saya sempat ditegur agamawan. Maklum saya baca buku Inggeris. Saya sempat cepat mengeluarkan buku “Hidup Sesudah Mati” oleh Bey Arifin. Saya bayangkan minat saya duniawi dan ukhrawi. Kerana kini 75 tahun tentulah lebih ukhrawi.

Saya terpikat oleh penjelajahan dan “kecapaian” Bill Gates, Jeff Bezos dan Steve Job, sebelum Mark Zuckerberg. Saya menapis manfaat daripada kejayaan duniawi mereka.
Antara sedar dan khayal—sebelum azan Asar dan Magrib—saya sempat keluar daripada buku “The Facebook Effect” itu dengan lega. Dan saya kembali ke bumi sendiri. Pertama, tentulah saya sendiripun berharap bangat akan lahir Mark Zuckerberg di kalangan siswa kita. Siapa tahu dalam senyap akan hadir sekelompok mahasiswa Melayu yang sempat memulakan “BukuQalbu” mengimbangi “BukuWajah”—Facebook. Yang sebuah memang duniawi; sebuah lagi syahdu ukhrawi.

Apakah antara sebaik kandungan buku ukhrawi itu?

Sambil bersandar antara khayal dan sedar, saya mengharapkan dalam “BukuQalbu” itu nanti sempatlah siswa kita menyedarkan pemimpinnya supaya jangan gelojoh tambah menara; tambahlah rumah murba. Usahlah galak melonggok hutang; pulihkanlah ekuiti bangsa. Kurangkan varsiti klon-klonan; perbanyak varsiti sendiri. Dan, usah galak dengan wang ikhsan; bertuluslah beri royalti.

Akhir-akhir ini saya makin tersedar bahawa kita sangat selesa menjadi bangsa penjanji. Dan janjinya pula sentiasa mega. Kebanyakan janji itu berakar hutang. Akan banyak IPO, juga pelbagai bond—beban hutang bagi generasi datang.

Sementara berwuduk baru, saya terdengar: Bolehkah kita jadi bangsa penjimat, bukan pemboros? Elaklah jadi George Bush dan Gordon Brown yang lebih mewariskan hutang daripada mewariskan khazanah. Tolong abadikan itu dalam “BukuQalbu”. Tolong!

About samadsaid

Writer
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

6 Responses to Antara “BukuWajah” dengan “BukuQalbu”

  1. Abu Alex says:

    Saya lihat “projek mega” itu hanya “diversion tactic” sahaja; seperti buku Bey Ariffin yang Bapak bawa ke mana-mana itu.

    Lebihnya mahu kaburi mata khalayak dari memandang RM65 JUTA yang mahu dibelanja buat ‘baiki’ rumah; mahu meredupkan jiwa-jiwa yang mungkin merasa jumlah yang diperuntuk itu keterlaluan banyak.. itu satu.

  2. katak says:

    macam mana ye, suara kita nak didengari oleh mereka?
    macam mana ye, tindakan kita kelihatan oleh mata zahir mereka?
    macam mana ye, setiap idea dan ilham kita digunapakai oleh otak mereka?
    macam mana?

  3. mdyasin says:

    Buku Qalbu….buku niat dan hasrat…permulaan tekad..

  4. Abu Alex says:

    Saya salinkan buat renungan:

    Warisan Hutang Negara

    PM mahu RM65 juta untuk Sri Perdana
    Masa zaman Tun Lah belanja RM17 juta
    Itu pun ramai bersungut dan bersuara
    RM65 juta boleh bina satu lagi istana
    Mungkin wallpapernya dibuat oleh Prada
    Gelung kunci pintu dilapisi emas dan gangsa
    Permaidaninya dari Tabriz 100 peratus sutera
    Maklumlah itu citarasa isteri pemimpin negara
    Yang hobinya shopping barang-barang berjenama
    Apa yang mahu olehnya hendaklah dilaksana
    Walaupun untuk sekolah tadika si permata
    Dapat peruntukan khas RM111 juta banyaknya
    Kemudian dengar pula hendak bina satu menara
    Harga asal RM5 billion umum pemimpin kita
    Bukan duit kerajaan bukan duit pelabur duit sapa
    Tapi diumumkan semasa Belanjawan Negara
    Ramai bersungut tetapi akan diteruskan jua
    Mana mereka peduli suara-suara kita
    Untuk menarik pelancung datang Malaysia
    Mereka akan banyakkan kelab malam dan spa
    Mereka akan anjurkan konsert antarabangsa
    Bawa mari artis yang akan terkinja-kinja
    Untuk merosakkan lagi akhlak para remaja
    Maka banyaklah lagi bayi yang dibuang merata
    Aku rasa mereka ini sudah gila agaknya
    Dulu kini dan selamanya songlap duit negara
    Nak bina pula Pusara Negara sebanyak 70 juta
    Hidup kamu songlap mati pun songlap juga
    Kamu dan saudagar mimpi kamu hidup selesa
    Kamu ingat dalam kubur tak ada siksa neraka
    Kehidupan rakyat marhaen papa kedana
    Hidup merempat sebab tiada lagi dana
    Tak jadi hantar anak ke universiti wang tiada
    Pelajar cemerlang tapi tiada lagi biasiswa
    Cuma dapat pekerjaan sebagai operator wanita
    Dulu zaman bapa dia dapat juga ke luar negara
    Zaman bapa dia banyak peluang untuk peneroka
    Zaman bapa dia masih ada Bank Bumiputera
    Tapi zaman dia rakyat dibebankan hutang negara.

    Keris Silau
    26 Oktober 2010
    http://kerissilau.blogspot.com/

  5. yusufjalli says:

    Pak Samad, seperti ‘Orang Tua dari Sejarah’
    yang kaualunkan tika gerimis dulu di Kg. Bandar Dalam, Gombak;
    aku wajar menyanjungi,
    semangatmu begitu kental menerjah zaman!
    (Terima kasih untuk tandatangan Pak Samad pada buku “Benih Semalu”
    dan bergambar kenang-kenangan. Tapi mengapa terburu-buru pulang?)

  6. nik zawawi says:

    Itu sudah biasa…..namanya pun lumrah dunia,politik segalanya sepatah kata seribu anggukkan kepala……..huhu, siapalah kita di mata mereka.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s