Sungguh Bergaya Di Sisi Warren Buffett

JANGANLAH tersentak kalau saya “mengicaukan” (tweeting) bahawa saya seorang “pemain kenit” saham. Kini saya sedang “menderita” kerana saham Scomi, MK Land dan Hua-An saya sedang melorot. Saya sempat menjual saham MRCB saya pada harga yang selesa—tapi masih kerugian. Begitulah perangai dunia saham.

Saya terpikat dengan dunia saham ini pada dekad 70-an ketika Bernie Cornfeld gagah dengan IOSnya. Ketika itu Pengarang Kumpulan saya (di NST) menceramahi saya tentang kemulukan dunia ini, apalagi sebagai pengarang, pada waktu berjangka, saya sendiri memang “dicurahi” saham anugerah. Saya sentiasa beruntung waktu itu kerana menjualnya terus kepada “wakil khas” yang memang sedia menyambut.

Mengenangnya kembali, saya tidak terasa rugi. Dari sisi niaga, saya tidak juga tercandu olehnya. Saya hanya “suka-sukaan”di dalam buana saham itu lebih kerana saya “dididik” oleh pergulatan antara siasah dan iktisad. Saham Scomi yang saya beli—dan masih saya simpan—kerana wisdoma yang saya peroleh melalui kocakan pasaran saham. Saya tidak terlalu hidup melaluinya—saya hidup di atasnya—kerana menyedari bahawa secanggih-canggih Warren Buffett pun, dia tetap tergelincir juga.

Barangkali apa yang masih “meregang” saya ialah kesan kursus yang saya sertai di Ashridge Management College, England. Kami diajar berlawan sesama institusi korporat. Sangat banyak yang saya tangguk daripada kemahiran niaga para pemimpin korporat besar dari negara Komanwel. Saya cuma seorang wartawan yang ketika itu digalak (sebenarnya didesak) belajar tentang gelagat dan resam dunia niaga.

Mengenanginya kembali, saya tidak merasa rugi. Dalam dunia siasah para pelakonnya memanglah ramai terdiri daripada para pemutar saham. Ketika berkuasa kembunglah saham masing-masing. Ketika tidak berkuasa, cepat kuncuplah bunga nilai saham yang sangat mekar pada zaman kuasanya.

Terakhir, Ken Fisher melalui buku terbarunya “Debunkery” mengakui bahawa di dalam dunia saham kita hanya perlu coba mengurangi kesilapan. Itu saja sudah satu kemenangan. Saya sedang menghadapinya di sisi Warren Buffett. Sungguh bergaya!

About samadsaid

Writer
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

2 Responses to Sungguh Bergaya Di Sisi Warren Buffett

  1. smarties says:

    Maaf saya tersentak sebentar. Tak sangka Pak Samad juga mengulit helaian dunia saham. Mencabar, saya fikir.🙂

  2. nik zawawi says:

    Salam, amat baik sebenarnya untuk semua orang sastera mengetahui tentang saham.Cuma saham di Malaysia terlalu banyak yang “suka menggoreng” .Saya juga penggemar sastera & saham……………cuba berjinak-jinak dengan FOREX pula Pak.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s