Nikmat Mandi Pada Senja Nan Indah

MERJAH menyembur air ke badannya pada senja yang indah itu. Ia membiarkan air melorot dari badannya. Ia sangat percaya bahawa bahagian ekornya amat cantik. Ia tersenyum kerana itulah satu-satu rasa nikmat yang sangat dihargainya. Bahagian gajah di hadapan, dan bahagian merak di belakang. Melucukan. Tidakkah aneh dirinya sebagai haiwan di tasik yang bakal terancam itu?

Hanya dua ekor pipit yang sedang menyaksikannya mandi—Sat dan Du. Tig tidak di situ. Kata Du, Tig sedang mendengar debat iktisad di balai desa berhampiran. Tig memang penelaah, juga pendengar sangat setia. Habitat haiwan sedang diancami insan. Tidak cukup dengan Tasik Kenyir, manusia ingin mengunyah tasik yang lain.

Merjah menyembur semula badannya, meneliti jaluran air yang melorot di badan itu. Ia sedang berfikir. Mandi ketika senja itu sebenarnya meluang peluangnya berfikir. Dan seperti biasa, sambil mandi, kenangannya merayau. Ia sangat luka. “Janji manusia janji untuk dilupakan,” ia teringat. Kata manusia, habitat haiwan tidak wajar dimusnahi. Lihat sekarang! Lain dijanji lain diisi. Memanglah insan jenis sangat pelupa, Merjah terdengar suaranya sendiri.

Sebaik bergerak dari tasik itu, Sat dan Du cepat menghinggap di belakang badannya. Merjah tahu dua ekor pipit itu ingin menyampaikan pesan—mungkin dari Tig.

“Ya, apa dia, Du? Apa dia Sat?” Merjah bertanya.
“Boleh kami cakap sekarang?”
“Cakap cepat. Bukankah kataku: Kita hidup dalam dunia sedar, bukan dunia lupa?”

Sat dan Du memberitahu bahawa para pembicara di balai itu niagawan dan siasahwan. Mereka menyebut-nyebut soal ingin menjadikan kawasan ini koridor pembangunan.

Sebuah Tasik Kenyir lagi?

Merjah meneliti mereka, dengan nada pedih berkata: “Cukuplah mereka lupuskan ekuiti bangsanya. Pulihkanlah itu dulu. Jangan berdegar-degar yang lain.”
Senja itu Merjah yang nikmat bermandi merasa seperti tidak bermandi!

About samadsaid

Writer
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

9 Responses to Nikmat Mandi Pada Senja Nan Indah

  1. Uzair Zain says:

    pendek; penuh makna, tok guru.

  2. nurul hidayu says:

    hebat..

  3. Niagawan & Siasahwan itu rakus… tak mudah beringat.

  4. Barajiwa says:

    Jadi mereka sudah mengidam-idam membina sebuah lagi tasik? Bukan main tingkah para pelahap dana ini. Bukan main lagi tingkah akal mulus para perancangnya.

    Ya, kita ingin ikuti dengan teliti apakah akalnya Merjah, yang berkepala gajah berekor merak itu, terhadap segala tingkah sumbang para perakus ini.

    Tapi, apakah kita terkejut dengan segala tingkah para penternak projek ini? Bukankah projek itu adalah kaedah para pelahap – melahap dana negara?

  5. nik zawawi says:

    Kerakusan pemimpin yang berkuasa demi pembangunan yang meminggirkan keindahan alam semulajadi……dijelmakan dalam watak-watak haiwan memang amat sesuai untuk menyedarkan insan-insan yang mahu berfikir.

  6. nik zawawi says:

    Itulah yang dinamakan ‘pembangunan’ yang rela mengorbankan alam ciptaan Tuhan .

  7. anynomous says:

    mendalam…cukup mendalam..

  8. selagi ada manusia rakus..selagi tu lah dunia takkan aman..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s