Iktibar Dari Dua Festival Filem Antarabangsa

DUA bulan ini sebenarnya saya menjadi kaki wayang—benar-benar kaki wayang.
Saya menonton kesemua 9 filem dalam Festival Filem Amerika Latin (dalam Oktober) dan 15 daripada 18 filem dalam Festival Filem European Union (dalam November). Saya “menghayati” kehidupan, memahami masalah dan mengesan aspirasi mereka. Saya tidak menonton kerana mengingini hiburan.

Setiap kali saya masuk panggung saya mengharapkan sesuatu—kewarasan daripada kehidupan yang disalin ke dalam filem. Sebenarnya saya ingin menangguk sesuatu—hemah dan hikmah daripada filem-filem tersebut. Biarpun, memanglah filem tidak dapat atau sempat menyalin kehidupan setulennya , tapi ia masih dapat mengimbaskan kehidupan sesebuah masyarakat. Berisi atau kosong.

Daripada kelompok filem Amerika Latin, saya sangat tertarik kepada filem “Pope’s Toilet” yang dalam kelucuannya sempat memaparkan kepiluan. Sebuah keluarga desa mengharapkan rezeki melalui sebuah tandas yang diyakini bakal ramai pengguna kerana lawatan Pope. Malang, ketua agama itu tidak lalu ke desa itu, menjadikan segala persiapan berniaga tersia-sia.

Menonton filem saya lebih gemar menekuni kisah kehidupan orang tua. Maka itu, filem “My Nikifor” (filem Poland) yang mengisahkan tentang pelukis nyanyuk; filem “The Only One” (filem Belgium) yang menekuni tabii orang tua pelupa tapi bervisi; dan filem “John Rabe” (filem Jerman) yang merakam perjuangan insani seorang ahli korporat—ketiga-tiga karya seni ini sempat memperkaya kemanusiaan saya.

Fesival filem antarabangsa biasanya memungkinkan kita menjengah kehidupan, masalah dan aspirasi bangsa lain. Melaluinya kita sempat menafsir dan mencecap inti pesanan filem-filem tersebut. Kita dibantu untuk “cepat dewasa” dan “tulus berseni”.

Kita diajak menjadi manusia berimbang—berbudaya.

Ghairah menonton filem-filem asing, tidak pula bererti saya melupakan filem tempatan. Saya menonton hampir kesemua filem Melayu terkini dengan sentiasa penuh mengerti. Dan, selalunya memang takut “memandang ke belakang”.

About samadsaid

Writer
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

5 Responses to Iktibar Dari Dua Festival Filem Antarabangsa

  1. zaki says:

    minta guru mengulas apa yang dimaksudkan dengan “memandang ke belakang”..
    terima kasih… ><

  2. anip says:

    “memang takut memandang ke belakang”..

  3. zulkifli says:

    “memandang ke belakang” dalam erti kata saya, melihat kepada kehidupan kini masyarakat malaysia yang jauh meninggalkan agama dan adat resam. memandang ke belakang menbuatkan kita merasa kita berada didunia asing. tempat berdiri menjadi asing dalam erti kaki memandang ke belakang.

  4. demikianlah semakin jauh manusia berjalan dan dengan sekian banyak mutiara kehidupan dikutip menjadikan kepekaan mereka berbeza dan berbagai-bagai,
    dalam menilai sesuatu masa lepas adakah menjanjikan “bekal secukupnya”?,
    lalu antara kerisauan dan harapan yang dipohon sedia menanti dihadapan,..
    moga-moga apa yang didoakan menjadi modal berharga dan berguna adanya,..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s