Wira Bukit Cuba Mewarasi Dirinya.

MULAI awal Disember ini Wira Bukit Sdn Bhd (WBSB) cuba berwaras. Memang ia belum mampu menjadi gunung. Dengan beberapa buah buku terbitan “bergaya”nya (kulit keras biasanya) setidak-tidaknya WBSB mulai hadir. Begitu pun, pastilah masih ramai yang tidak mengenalnya sebab WBSB ternyata sangat citrawan sifatnya. Kami mengidam menjadi pendorong iqra’wan.

Dalam dunia seniwan kelompok citrawan itulah yang menghiburnya. Tapi, seniwan wajar berwaras. Angka mutu dan angka jumlah adalah berbeda. Mutu (citrawannya) melimpahkan martabat; jumlah (iqra’wannya) membekalkan rezeki. Seniwan tidak bisa hidup munasabah dengan citra semata. Seniwan se”ideal”nya perlu membangun sebagai pendana juga akhirnya—sebaiknya danawan teroka (venture capitalist).

Tampaknya, itulah yang sedang diwarasi pengurus WBSB—Helmy Samad . Entah bila bermulanya, dan entah siapa pengilhamnya, WBSB menghampiri (atau dihampiri) PTS. Berlakulah bisikan batin penuh sopan dan mengerti antara seniwan hanya mencipta karya; dengan niagawan galak memasyhurkannya. Barangkali begitulah yang difikirkan Helmy Samad bagi manfaat ayahnya yang mula disindir menteri (“Apa lagi yang Pak Samad mau?”).

Segala peta kembara antara WBSB dengan PTS dilakari secara manis oleh kedua-dua pemimpin penerbit tersebut. Yang dihajatkan “Hidup Bersama” kerana:

Tanah air akan indah, megah dan bermaruah
jika kita sentiasa mensyukuri anugerah Allah;
dan bumi akan subur, makmur dan mewah
jika kita bekerja dan berikrar hidup bersama.

Atas semangat itu, PTS akan mula menerbitkan kelompok 5 buah buku kanak-kanak saya dalam citra yang manis dipandang, merdu didendang (Disember ini). Dan bakal menyusul nanti novel “Salina” (April 2011) dan puisi “Al-Amin” (Februari 2011).

Lebih 60 buah karya saya yang lain sedang beratur damai dalam terowong penerbitan PTS. Insya-Allah.

Begitulah WBSB cuba mewarasi dirinya. PTS, terima kasih.

About samadsaid

Writer
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

10 Responses to Wira Bukit Cuba Mewarasi Dirinya.

  1. Semoga Allah sentiasa mengurniakan kesihatan yang baik dan fikiran yang cerdas kepada tuan untuk terus memperjuangkan kesucian bahasa ibunda.

  2. Saya memang menantikan puisi ‘Al-Amin’ diterbitkan kembali .

  3. ridhwan says:

    Kebetulan saya sedang membaca the “Morning Post”…terjemahan Hujan Pagi. Alhamdulillah, semoga dengan PTS, saya lebih mudah memiliki buku Tuan.

  4. ubilepih says:

    salam hormat Pak!
    Tahniah,dan doa saya semoga bapak sejahtera selalu!
    Kalau lah boleh bernakal-nakal di sini mau saja saya bertanya kepada
    sang penyindir
    “Ya mau kamu pula kearah mana,masih belum penuh2 lagi ke?!
    gayanya semakin ternanar ke kawah serakah”

    maaf saya sekadar bercanda!.:)

  5. tengku suzana says:

    bahagia jiwa dengan khabar bermaruah yg tuan umumkan….saya menanti khazanah citra tuan dan sediak jadi iqrawan karya citra tuan.

  6. Assalamualaikum bapak, kami di PTS sentiasa berwaras dan cuba menyelerakkan karya-karya yang indah dan bagus kepada khalayak pembaca sama ada mereka adalah iqra’wan mahupun citrawan.

    Semoga buah tangan bapak mampu sampai ke segenap ceruk rantau Melayu khusus di Malaysia yang anak watannya sendiri tidak mandiri dan mati jati diri. Apatah lagi jika ditanya, “Pak Samad itu sasterawan negara keberapa?”

    Nantikan sahaja jawapan mereka.

  7. Yang Dimuliakan Dato’,
    Sungguh! PTSlah yang sedari mula mendekati karya-karya Dato’ dan Wira Bukit, dengan harapan PTS mendapat lesen bagi menerbitkan edisi khusus sesetengah karya-karya Dato’. Nampaknya, PTS amat bertuah, kerana bak kata pepatah, “meminta betis, diberi paha”…..

  8. Pembaca says:

    Alhamdulillah. Saya sudah lama berhajat untuk membaca novel Salina. Tahniah Pak!

  9. Aziemah says:

    Salam…
    Saya sedang menantikan novel Salina yang dikatakan bakal terbit pada April 2011. Namun, saya masih tidak menemuinya di mana-mana kedai buku, hatta di pesta buku antarabangsa sekali pun. Bolehkah saya memesan terus dari sini? Terima kasih.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s