Sudahkah kau lupa?

SUDAHKAH kau lupa atau “masihkah kau ingat?” Dalam suram malam dan sepi pagi saya sering terngiang lirik begini. Lirik peribadi ini menggema nyaring mengiringi irama usia yang beransur genting. 75 tahun—bakal 76 tahun April depan—adalah usia iktibar. Dipuji orang terasa malu; diperli orang cepat pilu. Jadi, sudahkah kau lupa atau “masihkah kau ingat?”

Dalam usia sebaraqah ini mestikah kita mendampingi kawan hanya ketika mewahnya atau ketika dirinya segak berkuasa? Dan, mestikah mendadak pula kita melupakannya ketika gilirannya melorot dari tangga kuasa?

Dalam suram malam dan sepi pagi lirik iktibar ini saya cermati.

Saya dapati buana kuasa sangatlah anehnya. Teman yang suatu waktu beradab sopan tiba-tiba berobah menjadi badak terjahan. Mereka yang dulunya arnab yang jinak di sisi perigi budaya tiba-tiba menjadi singa garang di sisi dana kuasa. Kawan cepat menjadi teman; teman cepat berubah musuh. Kerana itu, saya cuba tekun meneguk hikmahnya.

Sudahkah kau lupa atau “masihkah kau ingat?” Lirik sufis yang boleh mendidik dan menginsafkan. Pada saya, kita wajar berdiri di sisi teman ketika segaknya, juga ketika lemahnya. Saya sering teringat kata-kata guru saya, Miss Su: “Right or wrong a friend is a friend” (dalam bahasa PPSMI, kerana Miss Su memang guru bahasa Inggeris saya di SMC!) Kini tampaknya tidak ramai yang berpendirian begitu.

Jelas sekali, kini yang ramai hanya kawan ketawa. Tidak lagi ramai kawan yang berpendirian “right or wrong he is my friend!” Mungkin kerana kita sudah terlalu bersiasah atau sangat berniaga.

Kerana demikian iklim persahabatan—juga permusuhan—maka mudah berlakulah sindir-menyindir. Kita tergamak memanggil “bekas” teman: pengkhianat. Kita tergamak juga memberi pelbagai gelaran cemar kepada bekas teman siasah. Kita terlalu menjadi diri sendiri—singa yang terlupa mutu diri.

Akhir kalam, saya sebenarnya—secara berpuntal—ingin memberitahu bahawa “Saudara Anwar, benar atau cemar, anda tetap sahabat saya.” Saya kira memang haknya untuk membela diri di Parlimen. Bukan senang-lenang digantung sesuka kuasa.

About samadsaid

Writer
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

6 Responses to Sudahkah kau lupa?

  1. Asalamualaikum,

    Saya sudah pun membaca nukilan di atas tadi. Bagi saya, ia memberi maksud mendalam mengenai persahabatan. Memang sukar untuk mencari teman yang sanggup bersama-sama mengharungi kesusahan pada zaman sekarang.

    Kini, sahabat ketika senang (ketawa) lebih banyak berbanding sahabat sejati (bersama-sama mengharungi dugaan) kerana telah menjangkau hampir menguasai 50% populasi rakyat Bumi Bertuah ini. Pendek kata, jadilah ia sebagai tauladan serta pengajaran. Wasalam…

  2. deen lokman says:

    ya….terlalu ramai mengaku teman tatkala tawa bergema dan kuasa bernyala, namun semua bercempera tatkala tangis bertandang…sendirian..

  3. Hariz Chacho says:

    Tidak jarang nilai materialisme itu menghapus nilai persahabatan.

    “masihkah kau ingat?”

  4. ubilepih says:

    salam
    terima kasih Pak!
    atas ingatan ini saya juga ingin selalu mendidik diri agar selalu cermat dan berhemah
    di dalam memaknakan sebuah persahabatan.
    Semoga babak sejahtera menjalani usia di takah baraqah.

  5. cikaja says:

    Assalamualikum Pak Samad,

    Pak Samad masih ingat pada saya? Saya Hajaribrohim. Gadis yang menjemput Pak Samad semasa ART FOR GAZA di Shah Alam🙂

    Saya mahu menjemput Pak Samad sekali lagi untuk event Tahun Baru nanti. Barangkali Pak Samad ada masa senggang pada malam tahun baru? Saya berharap agar Pak Samad dapat memberi maklum balas pada saya. Terima kasih🙂

    Hajaribrohim.
    cikaja@gmail.com

  6. nawi latif says:

    dari ufuk nurani
    terbetik setitik kejujuran
    tentang nilai persahabatan
    sedang kawan lama
    selesa menyindir dipentas
    tentang sahabat yang kesasar
    dengan bujuk pluralisme
    sebaiknya ziarahilah sahabat
    bisikanlah dengan jujur
    yang benar dan murni.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s