JANDA SETINGGAN

Hari lahirnya Jumaat lalu
lipan menyengat
telunjuk kirinya.
Dan, dalam matanya
yang letih, berpusar
asap dan debu.
Dunianya amat sedu.

Sesekali angin berang
merentap baju—
di tengkuknya
terserlah pulau panau.
Derita kembali menderu.
Katanya: Derita itu aku.

Dirinya cemas diterjah usia
dalam kabus belasungkawa.
Dia terigau hampir seminggu
diancam lipan, angin
dan debu yang sama.
Desa bahagia, derita.
Katanya: Derita itu aku.

Antara jamban dan dapur
di sisi parit tohor
hari mukanya sabut, tin
dan lumpur.
Kalut mega direnungi;
kenyit kilat tak berbunyi.
Memang telinga kirinya
kini tuli.

Terjulur penggaga segar dan
ketip ketam cergas mencakar
dari bakul kenangannya:
Sanggul-molek-punggung-cantik
ulam kehidupan zaman penjajah.
Terlucut colinya suatu pagi
dia dicantasi janji lelaki—
dirinya bukan perawan lagi.

Cinta dan sejarah mencakar langsir
dan mencekau pintunya,
menyembur bara mentera.
“Aku teringat pandang pertama.”
Untuk apa? Hingga bila?

Dihantarnya rayu-resah Sanisah Huri,
diterimanya lesu-lara dendang R. Azmi
simfoninya rimba duri
disergah arus mimpi.
Dia yakin di situ segala
tersumpah sebagai batu;
menjadi lebih pasti, sesekali
disentap semboyan kereta api.

Dalam dakapan cubit tak sakit,
dia tertipu empat kali.
Dia—setinggan, janda berganda,
tercemar di belakang kereta.

Tapi, mimpi akhirnya: pangsapuri,
taman-mini-kolam-mandi!
Geli hatinya sepagi
kerana dirinya bas mini
mendesah ke Dayabumi
bersaing rezeki.

Dan sejak anak tunggalnya mati,
hikayatnya gunung ngeri,
kehidupannya puisi elegi.

Lalu, di larik bibir
gincu tak seri;
di bawah kenanga
bau tak wangi;
di sisi lampu
bayang tak jadi.

Dia diejek usia, diserapah cinta,
empat kali dia terbelah.

Disedari dirinya janda
dijerat rindu—
perahu sepi diagah sunyi
antara Bidong dan Langkawi.
Dia belajar bahagia
di sisi lilin dan
kucing yang lara.

Jumaat lalu,
di tengah gempa Armenia,
dirai hari lahirnya—
bertunda rekod R. Azmi,
kaset Sanisah,
berlumba kenangan meracuninya.
Dia terbiasa—
dalam cahaya malamnya siang,
dalam gelita siangnya malam.

Dan kini semakin
payah dikenalnya bila
jantan insan-hewani, bila
pula hewan-insani.
Lelaki tak dipercaya lagi.

Senja itu bergilir tetangga
menghadapnya—
sedu dalam ayat syahdu.
Dan ketika racaunya sampai ke puncak
tujuh kali dia tersentak.
Darah, najis dan muntah
saling mengasak.

Dalam biliknya berdinding akhbar,
tingkap berkiut, lantai berlumut,
dia mengucap semput.
Tercungap.
Tersentap.
Terhenti.
Matinya di sisi sisa nasi,
rehal retak,
subang pengantin, foto anak.

Tak mungkin jantan menipunya lagi!

16—24, Disember, 1988. A. SAMAD SAID

About samadsaid

Writer
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

14 Responses to JANDA SETINGGAN

  1. diana aziz says:

    best puisi itu.. walaupun saya tak faham sepenuhnya tapi saya suka dengan puisi tersebut..

  2. erin says:

    sedih. saya memahami perasaan perempuan itu.

  3. fauzi says:

    puisi nan indah,derita seorg wanita dr bermula kehidupan sehingga kehujung nyawa…syahdu!!

  4. putra rman says:

    tajuk puisi sudah menggambarkan cerita keseluruhan puisi, sungguh tersusun luhur sebuah perjalanan hidup yang penuh perit payah hingga hujung nyawa seorang Janda Setinggan.

  5. mdyasin says:

    hasbunallahu wanikmalwakil……terima kasih Pak.

  6. serimaya says:

    Itulah kehidupan bagi sesetengah orang, Pak Samad memberi ruang untuk kita berfikir, menilai diri bahawa hidup ini tidak semua bisa mengecap indah dan bahagia…dicelah celah kegembiraan orang lain ada duka bagi sebahagian orang dan saya menjadi sayu dengan puisi itu…

  7. pena marhaen says:

    puisi yg penuh pengertian di sebalik persoalan tentang hidup..

  8. hariz chacho says:

    Puisi yang ikhlas dan jelas, teratur dan menegur.

  9. EDDIE OTHMAN says:

    kita insan tak sedar kewujudan,
    kita insan tak insaf dari kesilapan,
    kita insan punah dek kemajuan,sonsang pemikiran.
    yang lemah kita lemaskan,
    yang miskin kita hinakan,
    yang hancur kita leburkan,
    layakkah kita digelar insan?
    renungkan…..

  10. hani says:

    saya menangis petang ini….

  11. shahzam says:

    legesi derita
    dari mimpi silam…
    telah bernoktah
    metro ini baru melakarkan…
    seribu lagi janda yang bukan janda
    bukan setinggan….
    dari kondo dan apartment mewah
    lakaran lukanya masih muda berdarah
    zuriat tak berdosa digonggong anjing liar
    bersepah disungai dan tasik

    jelata tak sempat melihat noktahnya…..
    “Dalam biliknya berdinding akhbar,
    tingkap berkiut, lantai berlumut”,
    atau
    dipuncak mahligai bergelar datin
    bernisan mamar berkilat

  12. heLmie Rj says:

    senaraikan nma mu dalam doa ku .

  13. hanya jantan hewani
    paling tepat dinamai
    tak reti menyintai
    janda dideritai

  14. cici rania says:

    ada yg tersirat di lurah paling dalam puisi ni… masih mencari maksud sebenar yg ingin disampaikan melalui puisi ni…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s