Terbayangkan Sesuatu Yang Ehem-Ehem?

BOLEHKAH kita menjengah iklim siasah negara demokrasi terbesar di dunia sebagai cermin iktibar untuk saja-saja menyukat suhu tabii moral bangsa kita? Pelakonnya Niira Radia, pentasnya siasah-niaga India, kesannya sedang menggelora. Apabila disebut pelakon di sini bukanlah bererti ia pelakon filem—Niira Radia benar-benar hidup di tengah realitas India—lahir pada 1959 di Nairobi, berumahtangga dengan Janah Radia pada 1981.

Dia mula menjadi operator wakil pelancongan di London yang berjaya dan oleh kecanggihan dan kemampuannya berhasil memanjat tangga kehidupan yang tertinggi—malah kemasyhuran tertinggi—dengan menjadi tokoh penghubung dunia niaga aviasi di India.

Tapi, dia mula lebih “mendadak” terkenal (Niira Radia sebenarnya sudah pun terkenal!) apabila sebanyak 140 pita rakaman perbualannya dengan beberapa watak penting terbocor kepada umum. (Sejenis peristiwa WikiLeaks juga tampaknya).

Khabarnya, iklim siasah dan niaga di India sedang bertaufan. Niira Radia sudah tiga kali dipanggil pihak berkuasa untuk memperjelas peranan dan hubungan “niaganya” dengan beberapa tokoh niaga dan siasah terkenal. Beberapa siasahwan yang terlekat pada nama Niira Radia sudah pun mula terlorot atau melorotkan diri mereka daripada singgahsana niaga dan kuasa. Dan ternyata bakal ramai lagi watak yang akan menggelongsor—termasuk menteri.

Pelakon ini—watak sebenar—telah menjawab pertanyaan pihak berkuasa dengan sangat tenang pada Jun lalu. Dipanggil lagi Disember lalu—malah akan dipanggil lagi. Sementara itu, tentulah masih ramai tokoh yang sedang terketar.

Masalahnya—memang ini wajar dikatakan masalah—ialah daripada 140 pita rakaman perbualan “niaga dan siasahnya” itu terimbas perhubungan niaga dan siasah yang berkabus—yang menyangsikan. Yang berhak menjadi kurang berhak. Yang sopan menjadi makanan si cerdik. Peristiwa yang mula dipanggil “Radiagate” ini jelas bakal menggelincirkan lagi beberapa nama besar dalam dunia niaga dan kuasa di India.

Terbayangkah sesuatu yang hampir sama di negara kita? Ehem-ehem!

About samadsaid

Writer
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

2 Responses to Terbayangkan Sesuatu Yang Ehem-Ehem?

  1. Assalamualaikum..

    Pengajaran yang bagus.. Sebenarnya semua orang dah tau tentang corruption ni tapi semua orang takut untuk bersuara sebab kalau bersuara sekalipun kita tetap akan kalah sebab sistem kita tidak adil.. Sekadar pandangan..

    Thanks.

  2. zulkifli says:

    tidak ada jalan lagi..
    mahu tangkap bilis dan paus sekali…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s