Antara Semboyan dan Merpati Putih

DIA bangun pagi merenung ufuk berseri. Terlihat bondongan burung, dia menegur: “Sihatkah kamu burung-burung pagi?”

Gerombolan burung tersebut memang terbang girang—melenggang, menjunam, mendaki sebelum menenggek selesa di dahan. Di bawahnya, terkibar kain rentang.
Melihat Tig tiada di situ, Merpati Putih cepat mewakili—bertanya: “Masihkah pembesarmu terus ghairah mencipta semboyan: “Kami bahagia bermandi harta.”?

“Ya. Cuma, kami masih tetap sekadar angka semata.”

Merpati Putih mengangguk ragu. “Makmurkah dirimu daripada kami yang melayang-layang dan bernyanyi-nyanyi?”

“Kami?” penjawab tersangkak. “O, pemimpin kami tetap sibuk menganyam kuasa, dan secara senyap, sibuk juga mengeruk dana. Begitulah makmurnya. Sebahagiannya disembuyikan di luar negara. Tidak aneh. Bukankah begitu juga yang berlaku di Tunisia dan Yaman?”

“Dan rakyat?” tanya Merpati Putih yang gembur bulunya.

“Rakyat? Biasa. Rakyat tetap sekadar angka—berguna hanya dalam pilihan raya. Bekalkan saja dana mengejut yang melimpah bakal ramailah penjual-belinya.”
Lalu penjawab menjelaskan bahawa biasanya harta yang dikeruk pemimpin bukan pun cernaannya sendiri. Harta itu adalah anugerah rahim di bumi. Minyak terutamanya. “Atau harta itu himpunan hutang dari luar.”

“Bayarnya? Bayarnya?” tanya Merpati Putih.

“Bayarnya?” Terdengar dekah serentak. “Bayarnya—generasi penyambung. Bayar hutang pendidikannya dan bayar hutang pemimpinnya.”

“Tak patut! Tapi, pembesar ‘kan memang bijak,” dua ekor burung berkata serentak..

“Tengok saja di Tunisia, tengok juga di Yaman. Contoh yang kini lebih menyala.”

“Pemimpin kami berhutang. Lubuk minyak dan anak cucu cagarannya.”

“O, patutlah pemimpinmu ghairah mencipta semboyan “Kami bahagia bermandi harta!” tegas Merpati Putih. “Nanti kami sampaikan khabar ini kepada Merjah—ketua masyarakat haiwan. Pasti beriktibar.”

Lalu burung-burung itu pun terbang serentak. Dan—tanpa sengaja—ada yang menajisi kain rentang bersemboyan “Kami bahagia bermandi harta” di bawahnya.

About samadsaid

Writer
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

10 Responses to Antara Semboyan dan Merpati Putih

  1. shahirah says:

    ya ! rakyat hanya berguna ketika pilihanraya.. kobaran semangat membela bangsa hanya retorik semata. kadang-kadang jelak Pak Samad. teramat jelak.

    selalu sangat dihidang dengan halwa yang manis-manis sampai tekak jadi mual..

  2. pena marhaen says:

    generasi kami mmg generasi penanggung hutang..apalah malang nasib kami punya pemimpin yang curang!!

  3. Dolah Jusoh says:

    Kebanyakan kuasawan kita berfikiran kapitalis zuriat sekularism asal dari Yunani purba.Dalam sistem kapitalis kuasa/harta/duit/wang adalah segala2nya.Kuasawan adalah tuan dan jelata sedar atau tidak,mahu atau engkar,adalah hamba/abdi.Golongan sekular ini sanggup melakukan apa saja.Seandainya rakyat condong kepada agama mereka akan berpidato mengenai agama.Janji kuasa milik mereka agar senang mengatur rencana.

  4. Kunang says:

    pemimpin yang curang pasti akan jatuh ke jurang. tunggulah masanya.

  5. Manan Qayyim says:

    Bergitu juga keadaan negara kita sekarang.
    Rakyat perlu membuka mata agar tidak salah memilih Peminpin Negara.

  6. Ghazalistiwa says:

    Pak Samad,

    Ya benar, pemimpin mana-mana parti sekalipun – sekiranya niat memimpin mahu bermandi harta; mereka layak untuk dinajisi.

  7. khairul says:

    rakyat hanya pada pilihanraya, selebihnya harta kita kaut untung semua!

  8. nor says:

    sedih saat terkenang diperkenalkan hutang sebaik saja terjejak di menara gading. apalah anak yang seusia itu tahu tentang itu. hanya reti tandatangan saja

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s