Kisah Helikopter di Angkasa Resah

TIBA-TIBA saja ruang angkasa Mesir dihiasi olang-olengan helikopter secara simbolis, tapi bengis. Hampir seminggu sebelum itu, kelompok dan barisan tank seselesanya dipeluk rakyat. Pada puncak keresahan rakyat, pasukan polis kurang berkasar. Inilah imbas kebangkitan rakyat yang lama lara.

Tapi, kisah ini sebenarnya kisah haloba kuasa—malah lagu senandung harta. Umum maklum bahawa kuasa itu nikmat—hanya bila menyalahgunakannya, laknat.

Tiba-tiba saja suara rakyat Mesir didengar dunia. Antara senjata lembutnya Twitter dan Facebook. Media sosial menjadi senjata bisa. Biasanya kuasawan nyaring berganti. Tapi, tampaknya belum begitu lagi di sini. Pemimpin yang dibenci rakyat masih yakin ada cara mengubati penyakit. Wujudkan semula jawatan penting yang lama “tersimpan”; singkiri beberapa watak “cemar”; dan susupkan watak “murni”—dikira semudah itu luka rakyat mampu disembuh.

Kenapakah pemimpin lama sangat kurang perasa? Sekali lagi: Kuasa itu nikmat.
Nikmat pula sentiasa muda. Ada sesuatu yang sengaja sering dilupakan pemimpin. Mereka terlalu mewah dan terlalu “terasing” tapi masih merasakan terlalu berdakap dengan rakyat. Dan pemimpin sedemikian—lebih lama lebih pelupa—merasakan bahawa kuasa memang haknya saja. Dan kerana lama, merasakan pula hak itu abadi baginya. Pemimpin-pemimpin begini biasanya terlalu tua. Tua ditafsir dewasa—muda dikira mentah. Itulah pengajaran awal dari hikayat Tunisia. Kini hikayat Mesir pula.

Hampir lebih separuh makhluk di dunia adalah orang muda. Benar orang tua wajar—malah waras—membimbing, tapi bukanlah perlu berdekad-dekad!

Patah tumbuh hilang berganti. Dan di Mesir kini seolah-olah tidak ada yang patah. Makanya, tidak perlu ada yang tumbuh. Sungguh jenaka.

Kerana itu, ruang angkasa Mesir kini masih dihiasi olang-olengan helikopter.

About samadsaid

Writer
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

6 Responses to Kisah Helikopter di Angkasa Resah

  1. Manan Qayyim says:

    Subahanallah,
    Ya Allah,
    Dalam doa kuharap Mesir akan berubah,
    Kerana rakyat yang merasa derita,
    Dunia menyaksikan kesengsara mereka,
    Bukan sahaja di Mesir,
    Jirannya Palestin lebih lama terasa,
    Kerana pakatan Peminpin yang durja.

    Moga kemenangan menjelma, Islam dijulang…

  2. Manan Qayyim says:

    Subahanallah,
    Ya Allah,
    Dalam doa kuharap Mesir akan berubah,
    Kerana rakyat yang merasa derita,
    Dunia menyaksikan kesengsara mereka,
    Bukan sahaja di Mesir,
    Jirannya Palestin lebih lama terasa,
    Kerana pakatan Peminpin yang durjana.

    Moga kemenangan menjelma, Islam dijulang…

  3. MISS.COMEY says:

    mengapakah masih ada peperangan???

    • zulkifli says:

      perang ada bila ada yang ingin berkuasa,tidak puas dengan sedia adanya kuasa,merasa berkuasa dan ingin dilihat berkuasa,maharaja sang kuasa…

  4. khairulorama says:

    kuasanya, kuasanya, kuasanya sahaja,

  5. nursofea says:

    Kita basah digenangi air,Mesir basah dengan darah dan geromal ranah,hidup kita setenang banjir di Labis,hidup warga Kaherah diranap fakir fikir,rasional takdir.Kita pungut segumpal iktibar buat panduan ilalang malam sesepi pertimbangan.Islam bakal punah jika tidak dijamah,ibunda menangis berpulang pergi membawa hati sengsara duka kerana mimpi bahagia syumulnya Addin kita.Wallah hualam.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s