Mengenal Buah Kuasa Yang Ranum

SEKARANG ini, jika kita duduk sekara dalam kafe yang damai atau berdiri terhempit dalam elarti yang sesak, kita masih payah terpisah dari citra gelora cemas di kaca Aljazeera. Selama berbelas hari rakyat Mesir masih terus berdemonstrasi di Tahrir Square. Wajah negara itu terkadang berharapan dan bermurungan. Yang berkuasa jelasnya masih kelompok yang sama, cuma dalam busana indah yang berbeza.

Sangat banyak yang boleh ditapis daripada musibah peristiwa itu. Pemimpin sebengis dan segelojoh mana pun tetap mempunyai tarikh luputnya. Tiga puluh tahun tidak dapat membahagiakan rakyat setulennya; tiga puluh tahun tidak tersedar memupuk generasi remajanya; tiga puluh tahun masih merasa kuasa hanya hak rejim tua—adalah tiga puluh tahun yang tidak mendidik dan tersia-sia.

Pemimpin negara memang terdaya mengasaskan kebahagiaan—menghias wajah negara dengan puluhan atau ratusan bangunan gah; menyedut modal luar tanpa menghirau kesan cengkaman kuku pengaruhnya; malah pemimpin negara boleh saja memperhebat bala tenteranya melalui bantuan talian hayat wang ihsan dari Amerika.

Pemimpin sesebuah negara memanglah terdaya menyuburkan ladang kehidupan rakyatnya sendiri. Tapi, segala itu hanya mungkin melalui mutu kelompok pemimpin yang diamanahkan berkuasa. Sayangnya, kerana nikmatnya kuasa, maka ramailah pemimpin yang terlupa atau memang tidak mahu meninggalkan tahta kuasa.

Secara real itulah sebenarnya yang sedang berlaku di negara-negara Arab dan Afrika. Pemimpin bersaudara hanya dengan kuasa dan—jika demokrasi—rakyat hanya menjadi sekadar angka lima tahun sekali. Payah ditafsirkan, tapi telahpun berbukti dari abad ke abad bahawa yang diidami pemimpin selalunya hanya kuasa—di Mesir kini paling mencengkam nikmat kuasa itu. Di tanah air kita juga sebenarnya hampir-hampir terjadi tahta kuasa tiga dekad. Hampir-hampir. Tapi, alhamdulillah, Malaysia masih separuh waras—banyak belajar dari bangun, sedikit belajar dari tidur.

Sekarang ini saya meninggalkan kafe damai untuk ke stesen elarti yang pastinya sesak. Saya berharap akan semakin kurang pemimpin yang sengaja terlupa tarikh luput kuasanya. Cuba-cubalah mencontohi Nelson Mandela—tahu meramal putik kuasa yang muda, tahu juga mengenal buah kuasa yang ranum.

About samadsaid

Writer
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

2 Responses to Mengenal Buah Kuasa Yang Ranum

  1. zulkifli says:

    pemimpin di malaysia juga harus sedar tarikh luput mereka…jangan asyik memerah keringat rakyat…jangan juga lupa kuasa rakyat

  2. fatimahsobirah1997 says:

    salam dato , ape maksd sekara?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s