Tupai yang tak jatuh di tanah?

Ke Sharm el-Sheikh dari Kahirah,
singgah bermalam menunggu ilham;
tiga dekad angkuh berkuasa,
andang benderang akhirnya padam.

MERJAH ketawa berdekah di hadapan khalayak haiwan sebaik selesai melagukan rangkap tersebut. Khalayak haiwan begitu terhibur mendengar rangkap sufis itu.
Senja itu, secara darurat mereka diminta berkumpul membincangkan soal pengaruh kuasa. Merpati Putih datang lagi; cuma Tig tetap tidak hadir oleh tugas rahsianya—memantau kuasa.

“Benar, petang ini, kita kunyah soal kuasa,” kata Merjah. “Minggu lalu, Merpati Putih telahpun menghuraikan peristiwa pergulatan kuasa di Mesir. Juga di Tunisia. Kita wajar menggali iktibar daripadanya,” sambung Merjah. Khalayak haiwan tekun mendengar—khusyuk ingin belajar. Manusia dikatakan pintar (juga sebenarnya “putar”) dan pergolakan di Mesir itu sangat mengajar. Merjah menunggu reaksi, tapi khalayak sepi. Lalu kata Merjah: “Begini saja. Dunia ini didamai atau digelorakan oleh kuasa. Terlalu lama berkuasa, seorang pemimpin bakal cenderung menjadi terlalu angkuh—juga sebal. Contohnya, pemimpin Tunisia, pemimpin Mesir!”
Kata Merjah lagi, itulah juga sedang berlaku hampir di merata dunia. Kini, rakyat tertindas mula membalas. Memang tidak sihat jika kuasa diboloti terlalu lama oleh hanya satu kelompok, apalagi oleh seorang diktator. Tupai ghairah mengangguk.

“Kita lihat kini bagaimana rakyat Mesir cuba merobah nasibnya secara aman,”

Merpati Putih mencelah. “Itulah yang wajar diteladani—lebih cepat lebih manfaat. Janganlah dibiarkan kuasa tertunggak selama tiga dekad. Kuasa jadi laknat.”

“Ada pandangan lain?” tanya Merjah, menyedari keresahan di kalangan mereka.

Sang buaya yang baru sampai tiba-tiba bertanya: “Kita bincang soal apa, ya, hari ini?”

Khalayak haiwan terbahak. “Itulah malangnya datang lambat,” sampuk sang tupai yang melompat ke dahan lain. “Kita bincang soal bolot kuasa!” jeritnya.

About samadsaid

Writer
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

7 Responses to Tupai yang tak jatuh di tanah?

  1. Hebatnya bahasa Pak Samad. Bukan sekadar pengucapan, penuh sarat berisi sindir dan teguran!

  2. Muthaiya Jayaseelan says:

    khalayak haiwan lebih bermanusia daripada manusia itu sendiri. Beautiful thoughts Tan Sri

  3. adasyut says:

    tak pe sang buaya.. biar lambat janji participate dalam langkah revolusi nanti😉

  4. cimon says:

    bimbang ada yg menggunakan kuasa dan negara sebagai pentas untuk membalas dendam…yg telah lama dipendam…mungkin sebenarnya dirancang

  5. nur insyirah az-zahra mohamad zaini says:

    salam pak samad saya pernah baca dalam buku ‘s untuk…’ dan ada biodata pak samad dan dari buku tu saya mula meminati pak samad

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s