Unggas Pagi Di Sisi Gerontokrat

TAMPAKNYA, unggas pagi di seluruh Timur Tengah tidak lagi selesa memerdukan senandung kuasa untuk Si Gerontokrat. (Gerontokrat: Ertinya wira tua yang lama berkuasa). Wabah resah itu semakin merebak—mulanya di Tunisia, kemudian ke Mesir. Setidak-tidaknya, dua gerontokrat sudah pun bersara sebagai biduan kuasa.

Ada yang tenat, ada yang penat.

Para penghurai siasah hanya bersetuju satu: Golongan muda sudah bersuara. Negara-negara di Timur Tengah dikatakan sedang bertambah resah kerana kaya minyak, kurang kerja. Tepatnya, banyak minyak bagi dana harta gerontokrat, kurang peluang kerja bagi rakyat muda. Lalu, marah yang lama terkhazanah, tiba-tiba menjadi lahar termuntah.

Semua kisah punya awalnya—termasuk kisah cinta Laila dan Majnun—Heer dan Ranjha. Tapi, di Tunisia dan Mesir bukanlah ia kisah cinta syahdu. Di negara-negara banyak minyak biasanya nafsu gelojoh mudah menjadi bendahara. Jerit seorang demonstran, mereka kayaraya, kami papa. “Mereka” maksudnya para gerontokrat itu; dan “rakyat” maksudnya golongan muda tanpa kerja.

Golongan sedemikian ramai di Bahrain, Yaman dan Libya. Barangkali—mungkin barangkali—tidak ramai di tanah tercinta ini.

Memang lazimnya sedikit payah untuk menceritakan sengsara manusia di bawah kuasa gerontokrat. Paling manis barangkali bercerita secara sufis—marah melalui belai, kasih melalui cubit. Tapi, kenyataan tetap kenyataan. Tidak bolehlah hendak berbohong bahawa kecenderungan gerontokrat itu tidak ada di sini. Mungkin kecenderungan itu santun terkawal.

Makanya, sangat eloklah dipetik buah teladan agar negara kekal makmur dan sopan. Aduh, bersufi-sufi lagi. Pokoknya, yang berkuasa cuba-cubalah berjujur. Walaupun kejujuran adalah sengat kuasa paling rahsia. Kalau berhutang akuilah berhutang; kalau dari khazanah perut bumi sendiri, akuilah juga. Sebab, yang penting, kejujuran awal kata. Ya, tidak payahlah bertabir sufi lagi. Unggas pagi tentunya lebih mengerti!

About samadsaid

Writer
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

9 Responses to Unggas Pagi Di Sisi Gerontokrat

  1. mhmdizvn says:

    sungguh benar kata pak Samad. kuasawan kita harus bijak mengambil ibrah,..

  2. pena marhaen says:

    teladan sudah ada,terpulang empunya untuk muhasabah diri..

  3. Hizwan Nizam says:

    kalau dah hati tak mahu, terpanggang derita pon rasa bahagia.
    apa boleh buat Pak Samad.
    sengsara dunia.

  4. MujahidMillenium says:

    Warkah Rasulullah jangan dilupa, Imam agung bakal tiba.

  5. Roy says:

    jatuh sudah wira tua yang lama berkuasa itu..

  6. Biarlah tanah ini kekal dengan sopannya pak samad.. Biar ia terus begitu.. Moga ia tetap begitu..

  7. zik says:

    terima kasih pak samad
    lembut susun kata menyulam erti kata pak samad bagi kami semua.
    terima kasih.

  8. Sutera_suci says:

    Saya suka dari abjad direnda kata yang ini..

    ‘..Pokoknya, yang berkuasa cuba-cubalah berjujur. Walaupun kejujuran adalah sengat kuasa paling rahsia. Kalau berhutang akuilah berhutang; kalau dari khazanah perut bumi sendiri, akuilah juga. Sebab, yang penting, kejujuran awal kata..’

    Terima kasih.

  9. akbajalil says:

    Semoga apa yang berlaku “di sana” akan menyedarkan kita semua di sini. Baik pemimpin mahupun rakyat. Baik kita ambil jadi teladan. Tidak baik kita tinggalkan buat sempadan. Pastinya yang afdal adalah kejujuran. Pemimpin harus jujur memerintah dan rakyat pula harus jujur memilih pemimpin. Masih adakah setitis kejujuran di negeri ini, bapak?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s