Berkelana Rohani ke Masjid dan Surau

TAMPAKNYA, saya ghairah benar berkelana budaya dua minggu ini. Minggu lalu—tiga hari dua malam—ke Brunei Darussalam; minggu ini pula—satu hari separuh dini—ke Ipoh, Perak. Kedua-dua kembara budaya ini (yang telah awal diatur), hanya sempat diisi sebaiknya setelah PTS menerbitkan semula beberapa buku saya.

Di Brunei, saya sempat memperjelas tentang latar belakang kemunculan lima buah buku kanak-kanak saya; di Perak pula saya menghurai latar belakang kelahiran puisi panjang “Al-Amin”.

Saya masih ingat betapa payahnya “Al-Amin” dicipta. Saya mengambil masa lebih lima tahun kesemuanya. Saya kunyah dulu pelbagai buku seputar kehidupan Nabi Muhammad s.a.w. Dan menulisnya, saya mengambil masa lebih dua tahun.

Kepada khalayak yang sangat santun dan tabah di Surau Meru 2B di Ipoh itu, saya mengakui kekurangan—malah kelemahan—saya kerana hanya terdaya menulis “Al-Amin” pada usia yang mula darurat—ketika 60-an. (Kini 75!) Sebelum itu, saya lebih berlegar seputar karya-karya kehidupan duniawi. Menulis “Al-Amin” memerlukan ketenangan dan kekhusyukan. Saya tidak berani—malah rasanya tidak mampu pun—melakukannya lebih awal.

Saya mengemukakan beberapa contoh rangkap puisi yang tercipta itu—adakalanya, kata saya, ia mudah ditenun; ada ketikanya pula ia payah direnda. Tapi, saya tekun.
Saya juga mendeklamasikan beberapa rangkap penting “Al-Amin” bermula dengan rakaman zaman Jahiliah berkembang kepada rangkap perjuangan hidup Rasulullah yang getir dari awal. Saya mendeklamasikan juga rangkap-rangkap pilu yang mengabadikan detik terakhir kewafatan Nabi Muhammad s.a.w.

Memang tidak mudah merakamkan kehidupan insan luar biasa ini. Saya mencubanya semampu daya. Paling penting selepas ini, mudah-mudahan, saya akan dapat membacanya di surau, masjid dan pondok. HMS Abu Bakar, syukriya!

About samadsaid

Writer
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

7 Responses to Berkelana Rohani ke Masjid dan Surau

  1. albazrah says:

    Assalamualaikum Pak Said, benar sekali. Syukur kerana saya dapat membeli naskhah terakhir al-Amin cetakan pertama yang ketika itu dijual di Pekan Buku UM. Semoga ia menjadi bukti cinta dan Pak Said dapat dikumpulkan bersama Baginda SAW di akhirat nanti serta mendapat syafaat Baginda. Ameen. Terima kasih Pak Said.

  2. NAM says:

    InsyaAllah Bapak..mudah mudahan…tapi bila agaknya cetakan baru Al-Amin akan keluar?Dah lama tunggu ni…=)

  3. pena marhaen says:

    tahniah kerana pak said mampu melakukannya dengan hasil yang amat baik..

  4. soa shah says:

    semoga berjaya..

  5. Irnie says:

    Salam Pak Said.. Berharap sangat diberi peluang menikmati Al-Amin.. Semoga sejahtera dunia akhirat..

  6. Irnie says:

    Salam Pak Said, semoga sihat dan sentiasa penuh dengan ilham 🙂 teringin sangat menikmati Al-Amin.. Insyaallah, mudah-mudahan diberi kesempatan..

  7. Gugusan kata-kata yang indah buat insan termulia yang bergelar al-Amin..

Leave a comment