Bahaya Angkuh dan Dungu

SEMINGGU ini, sedar atau alpa, kita mula banyak diajari tabii alam. Ternyata alam sentiasa patuh menaati resam natijah logisnya. Hanya insan yang sentiasa tidak sewaras itu. Insan seolah sengaja lupa belajar—atau lebih buruk, enggan belajar!

Siapakah yang meledakkan bom atom kononnya demi “kedamaian” di Hiroshima?
Siapakah pula yang galak menyukat kesan ujian nuklearnya di perut samudera?

Bukan insan?

Pedih, tapi ternyata kini ombak lebih cermat bertamsil. Malah tsunami—ibu segala ombak—juga secaranya berupaya memujuk insan supaya merenungi erti “ketakabadian”!

Paling bermakna gempa tsunami mengajak insan saling berihsan.

Sementara terpaan ombak mendadak menyedarkan manusia supaya belajar bersatu (contohnya di Jepun), sebaliknya pancutan minyak mengasuh insan supaya berseteru (contohnya di Libya).

Kita patut merenungi dua iktibar peristiwa “tsunami air dan minyak” ini.

Sebelum mencekaunya tsunami, selama beberapa dekad, manusia telah terlebih dahulu mengganggu perut samudera melalui ujian nuklearnya. Apakah kesan ledakan itu memperkukuh atau memperuntuh kandungan perut samudera? Tidakkah ledakan-ledakan sedemikian dalam senyap sebanyak sedikit mula meretak dan mereputkan susunan tulen kandungannya?

Kerana manusia sendiri yang mencemari lapisan asal udaranya, maka hawa dan suhu samudera berubah. Air batu di Khutub Utara mulai mencair merobah paras air samudera kita. Begitu juga, manusia yang mengganggu tatanan tulen alam yang membibitkan tsunami.

Seminggu ini, sedar atau alpa, kita mula diajari tabii alam semula. Dan dalam serba ketakutan, malah dengan sekhusyuk doa, kita mengharapkan buana kita yang sebuah ini bakal terselamat daripada keangkuhan dan kedunguan kita sendiri.

About samadsaid

Writer
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

7 Responses to Bahaya Angkuh dan Dungu

  1. alien says:

    Lumrah manusia, hanya beringat bila ditimpa musibah.
    Entah sampai bila mereka akan bersikap begini.

  2. pena marhaen says:

    kalaulah semua manusia berfikir alangkah indahnya…

  3. hizwan nizam says:

    tetap ada tempias. moga2 kita tak lupa bawak payung.

  4. salehaidris says:

    Salam Bapak,

    Mohon artikel ini ke blog saya.

    Dengan izin.

  5. sarip says:

    manusia memang berlagak, banyak yang muka bertalam, dah kentut sembunyi punggung, dah terhantuk terus sibuk nak tuding jari kat orang lain….

  6. sHeqa says:

    Kita memang lupa.
    kita memang angkuh.
    kita memang tidak bersyukur..

    terutama apabila kita terlalu hampir dekat harta, jauh dari kitabnya
    terlalu hampir dengan kuasa, terlalu jauh dari tiangnya..

    semoga kita kembali ke pangkal jalan. Mungkin amarah tuhan sudah tidak tertanggung lagi.😦

  7. nurain intisyar says:

    salam ‘alaik Dato’..

    benar kata2 Dato’.
    manusia gemar b’tuhankan egoisme.
    yg bulat hendak diratakan, yg b’segi hndk dibundarkan.
    berani benar mncuit hukum DIA di atas sana.

    Mohon pndpt Dato’ tntg pembinaan loji nuklear di Malaysia..

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s