Cubit dan Gigit Harta dan Kuasa

DI BEBERAPA negara di Timur Tengah bara pemberontakan belum terpadam.

Hanya di Mesir kewarasan menghening semula. Di Libya seluruh langit masih cemar. Sejarah menunjukkan bahawa kuasa yang berakar dan harta yang membesar selalunya menjadi racun rahsia. Terkadang pemimpin hanya ternampak kemakmurannya—terlupa kebahagiaan rakyatnya.

Memanglah payah untuk menjinakkan kuasa dan mewaraskan harta. Apalagi kalau kuasa dan harta itu dijangka kuasa dan harta terpusaka. Yang di atas ditatang; yang di bawah disengkang.

Sedikit sebanyak itulah iktibar jelas dari malapetaka sejarah dari Timur Tengah. Yang kaya segelintir, yang papa membanjir. Wabah kuasa dan harta sejenis ini merebak di mana-mana. Ingat, tentunya di Malaysia juga.

Benar, pelahap kuasa dan gelojoh harta ini menjadi punca persaingan. Olehnya, ada yang berkuasa kerana kaya. Ada yang berhak berkuasa, tapi papa. Malangnya, kewarasan memang selalu nyenyak lama. Mimpi harta dan kuasa teramatlah sedap. Makanya, sebaik-baik terjaga—selepas lima dekad—barulah sesetengah pemimpin kita terjerit—atau pura-pura menjerit—mengingatkan bangsanya sedang corot atau “Melayu sedang tercabar!” Jangan lupa, novelnya pun dicabar.

Makanya, kita tidak tahu sama ada harus menangis atau pun tergelak. Ternyata demikian lucunya sandiwara bangsa. Mengapa? Yang nyata sesekali bangun dari tidur sejarah, kita sendiri terkejut rupa-rupanya kita mempunyai ramai pemimpin yang memunggah harta sebelum bersara dan berlagak pembela selepasnya.

Begitulah juga tentunya akar masalah yang lama terkambus di Timur Tengah. Penyubur kuasa dan harta terus berdakapan. Lalu api dalam sekam. Dan sesekali—pesanan dari Medan Tahrir—membuat kita teringat:

Cubit itu rindu;
gigit itu nafsu;
harta dan kuasa
ternyata begitu!

About samadsaid

Writer
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

6 Responses to Cubit dan Gigit Harta dan Kuasa

  1. Memang harfiah harta dan kuasa menidakkan kewarasan…

  2. hizwan nizam says:

    kalaulah masih ada pemimpin yang contohi peribadi saidina usman. tak akan harta jadi jiwa, takkan punah kuasa jadi bangsat.

  3. ghost writer says:

    pemimpin hanya akan waras ketika mereka sudah bersara dari melupuskan harta negara.

  4. Kesal bila bangsat-bangsat mengaku diri mereka pembela bangsa..

  5. Sitty says:

    itulah hakikat harta dunia…meski tak kekal lama tapi kerana nya kita punah dihujung akal minda.

  6. separa sadar. sedang mabuk, lagikan datangnya sadar?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s