Jika Airmu Tiba-tiba Menghilang…

AIR BERBUIH yang mengerdip indah itu mendamaikan saya. Sesekali beberapa helai daun kering jatuh terletak sopan di atas air yang terus berkocak menokok pula khayalan saya. Saya berada di Titi Hayun waktu itu. Tidak terdaya mendaki seribu anak tangga yang menjanjikan ketakjuban alam yang lain, saya cuma cuba menikmati aliran air yang segar menggelecek dirinya di celah bebatu yang besar dan kecil. Buih air sentiasa memutih, hilang dan muncul hampir serentak.

Saya damai di Titi Hayun selama tiga hari dua malam minggu lalu.

Betapapun, saya datang ke daerah Yan itu bukanlah untuk kedamaian diri semata-mata. Saya bertugas sebenarnya—khidmat kecil tapi penting (malah ada kalanya sangat penting).

Kepada sekelompok peserta berbobot—seperti selalu—saya gemar dan tulus mengulangi kisah awal saya “tercipta” sebagai seorang penulis.

Saya mengulangi bahawa barangkali pengalaman yang teranugerah pada zaman kanak-kanak saya dulu sempat melandaskan asas dunia penulisan saya. Sejak kecil saya telah didewasakan oleh derita perang. “Derita itu aku,” kata Janda Setinggan. Tapi di sini “Derita itu saya!”

Saya lahir dalam zaman penjajahan; dalam zaman perang dalam zaman penjajahan lagi!

Walaupun, kepada sesetengah orang, saya sekadar mengulangi lembaran lusuh, tapi tampaknya, hampir setiap khalayak seni baru, pengalaman saya itu tetap “baru”. Generasi muda tidak akrab dengan pengalaman pedih zaman perang. Dan, rupa-rupanya—kata saya kepada khalayak bengkel—penderitaan adalah pengilham seni. Daripadanyalah sebanyak 76 buah karya seni saya (kecil, besar, tipis, tebal) lahir.

Berdiri lama merendam kaki ke dalam air berbuih yang berbisik riang di Titi Hayun minggu lalu, pada detik-detik syahdu saya teringatkan ayat Surah Al-Mulk: “Katakanlah, “Cuba terangkan! Jika airmu tiba-tiba menghilang di dalam tanah, siapakah mendatangkan mata air mengalir jernih bagimu?”

About samadsaid

Writer
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

10 Responses to Jika Airmu Tiba-tiba Menghilang…

  1. penderitaan adalah pengilhaman seni.

    kata bapak, buat saya turut sama tersenyum. melankoli mendiami hati kala hiba menjengah. ketika ini lah jari jemari laju sahaja membenam papan kekunci komputer atau paling tidak pun menari kan pena di atas lembaran buku kecil yang selalu diusung ke mana sahaja saya pergi.

    sebuah tulisan kecil pun terhasil. cukup untuk kepuasan sendiri bila dibaca kembali bapak.

  2. Sutera_suci says:

    Pak Samad,

    I lebiu!

    ^__^

  3. pena marhaen says:

    pernah juga terfikir andai Tuhan enggan lagi mengasihani kita dan menghilangkan nikmat penghilang dahaga itu bagaimanakah akhir penghidupan kita-kita ini tanpa nikmat air.

    sesungguhnya kita-kita ini adakalanya kurang merenung kejadian alam dan kurang pula bersyukur.

  4. Salam Pak Samad,

    Jika dahulu derita adalah sumber ilham penulis.
    Kini, karya-karya penulis generasimu adalah sumber ilham kami samada ketika di alam realiti mahupun maya.

  5. Fida Aishah says:

    Ada ketika airmata itu hilang upaya untuk pergi
    biar kita cuba sapu tangankan ia berulang ulang kali
    sejujurnya kita ini lahir dari peluk dan jerih cinta
    tapi bila di biarkan berkelana sendirian cuma
    airmata ialah jasad dan hukum kita pada rasa
    mahu mati, belum pula sampai ajalnya.

  6. ali Junior says:

    teliti meneliti realiti.

  7. Abdullah Ridzuan says:

    Al Mulk menjadi teman di alam barzah.

  8. orked says:

    Benar. terkadang derita itu mengilhamkan.

  9. wanfad says:

    Wah, tenryata bapak sangat menyelami alami ini ye..?

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s