Kita Mulai Menjadi Bangsa Yang Kebas

TENTULAH ada yang sempat merasakan bahawa bangsanya kini sedang mulai kebas. Banyak peristiwa berlaku hampir secara memburu—khususnya soal pertarungan kuasa yang ternyata amat berat sebelah.

Dan, ini, sengaja dimungkinkan oleh media arus perdana yang tampaknya memang cenderung menjadi media arus durjana. Media begini cenderung, malah sengaja, menghantar atau mengapungkan hanya berita-berita sebelah pihak. Kita hadir, mereka tidak. Kita penting, mereka tidak. Malah, kita benar, mereka tidak. Begitulah.

Segala yang buruk tetap saja di pihak oposisi; sedang yang baik pasti saja di pihak pemerintah. Dengan begitu, kita hanya “dibenarkan” atau “dipaksa” untuk melihat hanya wajah—dan batin—bangsa yang sebelah saja.

Selalunya, malah sentiasa, kita digesa menelan kisah-kisah buruk pihak oposisi saja. (Kisah video lucah contoh klasiknya). Dan oleh ulangan itu, apalagi oleh kekerapannya, maka yang terlihat hanya oposisi yang racun. Di pihak pemerintah sentiasa penawar.

Pihak oposisi tidak punya media yang cukup untuk melawan. Berjuang hanya dua kali seminggu—melalui akhbar tabloid kurusnya—melawan gergasi media arus perdana (akhbar, radio dan TV terbanyaknya) yang seharmal itu, tentulah ia satu perlawanan berat sebelah yang amat lucu. Maklum, yang seorang didera menggunakan keris, sementara yang seorang lagi diwajibkan menggunakan meriam.

Barangkali memang itulah demokrasi a la negara kita.

Kerana demikian keadaannya (maksudnya, kesombongan media arus perdana yang seharmal itu), maka rakyat terbanyak tidak sempat, malah tidak cekap, menyaring fakta dan mewaras tohmah yang ghairah terhidang dalam media yang berat sebelah.
Tampaknya, kita sengaja diasuh untuk menerima saja apa yang dicurahkan oleh media arus perdana. Kerdipan tajuk-tajuk utama berita membenamkan kebenaran yang memangnya ingin dibenamkan. Maka itulah kita mula menjadi bangsa yang kebas.

About samadsaid

Writer
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

18 Responses to Kita Mulai Menjadi Bangsa Yang Kebas

  1. Cik Intan says:

    memang benar dengan apa yang diperkatakan.

  2. Walaupun saya baru seputik jagung. Tapi soal ini mungkin saya boleh nampak mana rasionalnya. Walaupun masih belum layak untuk mengundi, tapi saya nampak permainannya. Yang buruknya hanya sebelah pihak, tapi buruk yang sebelah pihak lagi dibiarkan mati sepi. Media tidak habis habis menghentam pelaku yang konon kononnya pesalah dosa besar, sampai saya sebagai generasi muda mula meluat. Biasalah perkara yang buruk lebih senang dipercayai dan didengari berbanding perkara baik. Mungkin generasi muda seperti saya yang akan layak mengundi dalam masa 2tahun lagi berpendapat untuk apa mengundi sedangkan kita pasti kalah kerana pengaruh mereka kuat.

  3. rara says:

    salam.

    entahlah pak samad. mungkin media arus perdana terlalu selesa menjadi pengampu. janji jualan mereka laku dan dikekang siapa-siapa. memang mereka penulis curang pada kenyataan.

  4. rara says:

    maksud saya ‘tak dikekang siapa-siapa’

  5. pete says:

    salam, media arus perdana perlu selesa menjadi pengampu kerana hakikatnya pekerja media tetap insan biasa yang memerlukan suapan setiap hujung bulan. Tanpa maklumat berat sebelah, mereka bisa lumpuh. Manakala pihak atasan media hanyalah boneka yang tahu menerima arahan dan tersedia membuat keuntungan. Bukan saja bikin bangsa kebas melalui berita berat sebelah, malah menghimpun program realiti fantasi bikin anak bangsa jadi lali. Isu klasik ini pak samad, hanya keluhan boleh jadi teman.

  6. akuladee says:

    selamanya takkan berubah kot pak samad?

  7. suhaimi says:

    Separuh abad sudah, rentak dan irama sumbangnya tidak pernah berubah. Namun masih ditarikan oleh warga yang tuli pendengarannya. Entah sampai bila… .

  8. Manna Qayyim says:

    .Begitulah rencah politik masa kini.
    .Akbar menjadi mediam membentuk minda masyarakat.
    .Mengikut pemerhatian saya.
    Mereka yang menbaca kedua-dua akhbar kompenan dan posisi.
    .Lebih terbuka mindanya.

  9. erti40tahun says:

    pulihkah Malaysia suatu hari nanti? bagaimana caranya…

  10. hizwan nizam says:

    hampir kepada titik berpaling. soalnya, berapa ramai lagi yang suka bertinggung atas pagar? seronok jadi buta dan bahagia memekakkan telinga. hambatan isu dan cela yang ada sekadar mengundang titipan di juih bibir, tidak pernah pada ketinggian akal fikiran. malang.

  11. farisghazali says:

    baca utusan, naik meluat dengan umno, baca harakah, jadi bosan dengan pas..
    saya undi pak samad je lah.. boleh..?

  12. Muhammad Adam Lee bin Abdullah says:

    Assalamu’alaikum, tuan penulis budiman.

    Benar lagi tak perlu bersuluh … Segala yang dikatakan tuan ternyata benar. Kita ni, nama aja negara merdeka, berusia 54 tahun, namun minda masih, malah, lebih teruk daripada era penjajah. Jika zaman British, kita ada “dasar pecah & perintah”, tapi, kini, segalanya bercelaru, lalu dunia ditipu sekian lama oleh sandiwara keharmonian rakyat gara-gara gagasan pihak ber”authority”. Juga, kononnya kita antara “NEGARA ISLAM” contoh, namun suasana peningkatan gejala sosial, jenayah, kesengsaraan rakyat dan lain-lain … Segalanya akan cuba disembunyikan sedalam tujuh lapis bumi … Manakala, segala yang benar, cukupla dengan teguran para ulama dan para cendekiawan, akan ditapis, disekat, malah, kalau dirasakan merbahaya oleh mereka, ke tembok batulah jawabnya, kan? ISA dan 1001 akta ciptaan penguasa adalah seperti melindungi regim-regim Marcos (Filipina), Suharto (Indonesia) dan pelbagai lagi kuasa Fir’aun dan Namrud sepanjang zaman. Bukankah ini sesuatu yang jelas kebenarannya?

    Justeru, saya rasa, sampai sudah waktunya untuk kita berjihad, walau hanya dengan sebatang pen dan sehelai kertas, untuk menumbangkan penguasa yang telah semakin nyanyuk dan hilang akal ini. Marilah kita bersama berdo’a agar usaha dan niat murn ini dimaqbulkan-Nya.

    “Perkenankanlah hajat kami ini, ya Allah.”

    (Saya akhiri tulisan ini dengan memohon ampun dan maaf seandainya ada komentar yang keterlaluan dan/atau lar daripada maksud asal yang mungkn menyinggung hati tuan dan rakan-rakan pembaca sekalian.)

  13. rdhanz says:

    Cabaran bagi anak muda, menilai apa yang dibaca sebelum memindahkannya.

  14. Orang Muda says:

    Salam.

    Anak muda (lagi setahun untuk mendaftar sebagai pengundi) menerima cabaran tuan. Jangan menjadi bangsa yang mudah menerima tanpa melakukan selidik belakang tirai. Dan kepada penyembunyi kebenaran :

    “Kecuali orang-orang yang bertaubat dan membuat pembetulan dan menerangkan kebenaran maka terhadap mereka itu Aku menerima taubatnya dan Akulah yang Maha Menerima Taubat, lagi Maha Mengasihani,”

    (Surah al-Baqarah ayat 160)

    Taubatlah!

  15. Azam Rashid says:

    setuju,

  16. Dda says:

    sungguh setuju!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s