RANDAI KERA

Setelah tumpas tujuh undi
atas bukit calon bersepi
memarakkan unggun kata:
Bahasa kempen makin berhias janji;
kerlip loket kerlap rantai kaki.
Terkadang ia teka-teki amat peribadi;
digoreng ikan kering terhidang ayam
garing. Terkadang teka kata purba ia,
terjawab pun masih samar hurufnya. Atau
silap mata: Singa liar ditutup gebar
meloncat menjadi kucing lapar.

Sesudah menang tiga undi
ke puncak busut calon berlari,
terkinja, meraung ngeri:
Bahasa kempen kini lolong sepanduk
senyum dirakam terjelir ular senduk.
Terkadang ia penyangak uzur
sempat diperdaya janda subur.
Terkadang ia busana indah, banglo
mewah, calon kaya. Memang ia
disaluti dusta tapi, aneh, dipercaya.
Maklum begitu memang manusia.

Sebelum mengikis poster lusuh,
merokok,meneguk teh keruh
menyanyi pembantu serahsianya:
Bahasa kempen nyaring bagi yang
kuasa kerana akhbar, radio, TV
.menjeritkannya; terbisu bagi yang
sanggah kerana media yang sama
seperti tertetak saja lidahnya.
Bahasa kempen sering menghantar
mimpi jampi; terbang cergas
kerana magis dana yang sakti.

Sebaik menyokong calon sandar
khalayak sangsi sesama sendiri,
menjerit ke langit gusar:
Bahasa kempen menjadi lidah
sumpahan, jika, demi kuasa, tidak
tulus diperjuang keluhuran.
Sedetik selepas balai sepi
bulba lampu tersentap mati
melengking derap suara:
Bahasa kempen harus hati nurani
ikhlas, berhemah dan suci!

Seelok semua sumber berdengkur
dari tengah rimba di sisi kubur
berandai ghairah sekawan kera:
Memang inikah mimpi manusia?

21—22.3.99 —A.SAMAD SAID

About samadsaid

Writer
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

7 Responses to RANDAI KERA

  1. ahmadyani says:

    Bahasa tidak lagi diguna untuk memartabatkan bangsa. Bahasa kini dipermainkan untuk memartabatkan kuasa!

  2. shahrul says:

    hari ini mereka berkokok,
    hidup mati tunggu jawabannya esok.

    mengalir airmata dengan keindahan sajak dari pejuang ini…..

  3. asyraf says:

    indah nya bahasa…

  4. hafizi says:

    literasi yg indah..
    tahniah pak samad..

    ini puisi pak samad sewaktu era reformasi
    semangatnya membakar hingga kini:
    jeritan senja september…

    Itulah, seingatku, kali terakhir warkah
    cemas dicantas-geram dironyok dari atas.
    Memang amat dahsyat gelora seminggu itu
    ketika dua kemudi menderam ke laut seteru,
    ketika tofan juga sempat menyiat puisiku
    yang cuba merakam marak bara reformasi,
    disamping cuba memahami punca tirani

    Didera kemelut liar peristiwa nyilu itu,
    sungguh, tak lagi sedamai sufi qalbumu,
    aku sendiri pun terasa paling berdosa
    menilai perjuangan dengan dacing salah;
    wajarlah kita dicabari kejanggalannya

    Tapi, sekerlip berubah gelombang tabii;
    ribuan remaja di depanku, generasi berani,
    mungkin lambat mengenal inti demokrasi,
    tapi cepat menyedari erti maruah diri.
    Kerana menghadapi pencabar yang berang,
    tangan yang kukuh, taring yang garang,
    semenjak itu makin yakin mereka berdiri
    dalam ribut, celah petir, sisi puisi;
    nyaring menjeritkan: ‘Hidup reformasi!”

  5. LEFTENAN MAHIRUN SANAHARIN says:

    INDAH BAHASA ITU,…BILA HATI KITA TURUT INDAH…INDAH BAHASA ITU BILA FIKIRAN KITA TERBUKA..INDAH BAHSA ITU BILA KITA SENTIASA BERTAKWA PADANYA…INDAH BAHSA ITU BILA JIWA KITA BERJUANG DEMI DARAH BANGSA…INDAH BAHASA ITU BILA KITA PATRIOTIK TANAH TERCINTA..INDAH BAHASA SEPANJANG ZAMAN DAN MASA..DAN AKU SENDIRI SENTIASA INGIN MENGEKALKANYA…….

  6. Nor Syazwani Kamaludin says:

    dari tengah rimba di sisi kubur

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s