Butir Zikir, Gugus Surah, Rangkai Tasbih

BULAN Ramadan sejak 2009 menghadiahi saya masa bersyahdu. Beransur tahun, alhamdulillah, saya semakin tersyahdu olehnya. Ada sebabnya. Pengalaman mendadak menemui Haji Ramli Al-Fadil pada musim haji lalu membenihkan sejenis kekhusyukan. Beliau menghadiahkan saya beberapa butir zikir yang semakin mendakap. Katanya, butir zikir itu adalah hadiah daripada Sheikh Abdul Karim Al-Banjari (guru di Masjidil Haram Makkah al-Mukaramah). Selain ayat-ayat terpilih, saya juga dihadiahi seulas tasbihnya sendiri.

Butir zikir, gugus surah serta rantai tasbih—hadiah peribadinya kepada saya. Sejak itu, ayat-ayat surah pilihan itu sentiasa di bibir dan tasbih peribadinya sentiasa di jari setiap ketika saya di atas sejadah. Walaupun saya lebih berusia daripadanya, tapi di dunia ini usia hanyalah panjang waktu. Sedangkan, inti amalan adalah lestari waktu. Makanya, tentu saja lestarinya waktu lebih bererti daripada panjangnya waktu.

Walaupun hadiah daripadanya kelihatan sebusut—tapi yang sebusut itu serasa segunung. Kerana, selepas 2008, permata zikir hadiahnya sentiasa menjadi teman iringan saya yang akrab. Tidak menzikirnya terasa seperti tidak sempurna beribadah. Dan kesan ghaib itu terus membenih, berakar, berbunga, kemudian bertaman di qalbu saya. Kesannya sangatlah damai, malah syahdu!

Benih zikir dan ayat sedemikian menumbuhkan iklim ibadah yang kaya dan wangi. Taman zikir itu, malah, bertambah indah dan harum. Dan di dalam keindahan dan keharumannya itu, lahirlah pula keazaman untuk memperbanyak amalan dan bacaan ayat-ayat lain daripada al-Quran sendiri. Maka tersedarlah bahawa bersubuh semata tidak terpuas diri. Lalu, mekarlah semula solat-solat sunat lain yang pernah dikhusyuki pada tahun ibadah haji 2008 itu.

Makanya, tidaklah terasa selesa jika solat Subuh tidak disambungi solat-solat Isyraq dan Dhuha. Malah tidaklah juga terasa damai jika di celah-celah solat fardu dan sunat tidak dibaca surah-surah al-Sajdah, al-Mulk dan al-Insan.

Demikianlah—semalam tiba-tiba saja saya terkenangkan Haji Ramli Al-Fadil yang tentunya masih syahdu beramal dan berbakti di sebuah desa kecil di Makkah. Mungkin beliau merasa syahdu mengetahui bahawa butir zikir, gugus surah dan rangkai tasbih warisannya sangat bermanfaat kepada saya.

About samadsaid

Writer
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

10 Responses to Butir Zikir, Gugus Surah, Rangkai Tasbih

  1. ujang kutik says:

    Catatan ini larut dalam roh dan jasad yang membacanya.Terima kasih Datuk.

  2. rex hanif says:

    alhamdulillah.. terusterang saya juga mahu perasaan itu..

  3. Wak Domo says:

    Alhamdulilah, Tok
    Bersemadi amal 
    mengabdi hati
    Agar tunduk diri 
    HANYA
    ke hadrat Ilahi

           سبحن الله – patuh taat kepada  
                           perintah Yang Maha 
                           Suci
              الحمدلله – tawaduk merendah 
                           diri kepada Yang 
                           Maha Mulia
              الله اكبر – penuh tauhid 
                           kepada Yang Maha 
                           Besar

    Menjadi waraslah kita…
    Ya, Tok?

  4. ahmadyani says:

    Butir zikir yang diijazahkan lebih menusuk hati bila diamalkan.

  5. dayya says:

    sebutir sebelum yang ke-sembilan puluh sembilan itu, tasbih putus ke lantai. Kita habiskan dan mula kembali zikir sambil mengaut satu persatu butir tasbih yang berselerakan. Diikat cantum, dan ulang semula.

    manis dan indah, kan?

  6. Wak Domo says:

    Alhamdulillah, 
    Tok sudah menemui mutiara segala amalan dan ibadah:

    Kekhusyukan. 

    Tiada cara mudah untuk memilikinya;
    Kola pernah menggapai ke langit,
    menjengok ke bintang bintang – 
    mencari rahsia Kekhusyukan. 

    Namun, Kekhusyukan tiada di sana. 

    Rupanya ia sentiasa berada di hati
    terselit di antara amygdala dan
    hippocampus…
    menanti dan menunggu
    untuk disuburi dengan: 

    ilmu dan amal,
    iman dan taqwa. 

    Dan, semestinya disirami dengan Keikhlasan (hanya kerana Allah).

    Keikhlasanlah itulah imuniti, Tembok Kebal (Firewall) yang mampu menyekat anak cucu Adam dari hasutan iblis dan syaitan:

    “[38:82] Iblis berkata: ‘ Demi kekuasaan Mu (wahai Tuhanku), aku akan menyesatkan mereka semuanya,”

    “[15:40] Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hamba Mu yang ikhlas (dibersihkan dari sebarang perkara syirik – halus mahupun nyata).”

    Kedengkilan, Keangkuhan dan Kesyirikan bisa menghancurkan segala amalan dan ibadah kita. 

    Na’uzubillahimindzalik. 

    Mudah mudahan sama sama kita terlindung terjaga dari sifat keangkuhan ala-iblis laknatullah itu. 

    Terima kasih, Tok

  7. musafir says:

    Saya juga ingin capai khusyuk itu. Sekadar berkongsi, syaitan itu terdapatnya dari 2 kalangan; manusia dan jin. Walaupun berbaki lagi beberapa hari ramadan ini, kadang-kadang amal saya itu kurang khusyuknya. Mungkin lemahnya iman saya, membenarkan was-was menguasai. Benar, saya masih muda, tapi, bagi saya senja itu bertamu tiba-tiba.

    p/s: rajin Wak Domo ke sini hari-hari🙂

    • Wak Domo says:

      Wak ini,
      walaupun terlatih sebagai saintis,
      namun yakin –
      seni itu jiwa dan budi Bangsa;
      harus diteliti agar kita memahami
      arah tuju Melayu hari ini

      memang Dunia dah di hujung zaman…
      gambar gembur sana sini amat mendebarkan rasa;
      keluh kesah kurang tenteram pemikiran dibuatnya;
      sinun fitnah sini bohong sitok tipu sana dusta –  
      langsung terbenam terhempit kebenaran!

      Memang Dunia dah di hujung zaman.

      Wak ke sini saban hari kerana menjengah hati sanubari Tok
      Wak membaca, memahami, merungkai tulisan demi tulisan Tok
      Wak inginkan satu sintesis rasional kenapa Tok
      berkelana menjauhi diri dari hati hati Bangsa Tok

      …..

      Yang merindui kejituan…
      Saterawan Negara?
      Adakah beliau di umur emasnya ini:

      Sepi?
      Sunyi?
      Benci?
      Berani?
      Apa lagi?

  8. Saipul Haron says:

    Subhanallah Alhamdulillah Allahuakbar..

  9. Taj Addin says:

    Tiada Tuhan melainkan Allah, Muhammad itu pesuruh Allah, sebanyak setiap kerdipan mata dan hembusan nafas dan seluas bilangan pengetahuan Allah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s