Kepada Cendekia Solidar

Kita wajar ikhlas murnikan sumber kuasa bangsa,
menghakis label-label bongkak yang disusup puaka.
Kini para bangken sedang berlindung di sebaliknya
dengan media gergasi pertajam taring dustanya.
 
Cendekia muda kini tenaga tulus dan waja
semakin cekal bangkit sebagai wewira perobah.
Mereka tentangi kuasa cemar berlendir dosa,
berazam melawannya demi mengharum satu era.
 
Pening gas dan pedih air mencemar dekad merdeka;
kuasa bobrok ghairah merongrong demokrasi luka.
Kita wajar mensyahdukan benih kuasa yang sakti,
dan dengan khusyuk mendeklamasi puisi berani.
 
Senja ini lara, dan kita tetap menyembuhkannya.
Ya, kita dakapi demokrasi tulen seakrabnya.
 
6—7, Ogos, 2011.                       A. SAMAD SAID

Posted in Uncategorized | 8 Comments

“Oh” Dengarlah “Jeritan Batinku”

KETIKA ini sebenarnya saya sedang hanya bersama Merjah—hewan khayalan saya. Kami meninggalkan sedetik tasik warga hewan yang damai itu. Sekali ini kami tidak bersama kumpulan pipit, merpati, rusa, monyet, kambing dan, ya, sang buaya!

Memang saya bersama Merjah saja. Dan, di kafe mini di KLSentral.
Ada pesanan lara yang ingin saya sampaikan kepada wakil masyarakat hewan. Selama ini masyarakat insan tidak sedia menerimanya. Dan Merjah (yang wujud di mata saya dan ghaib di mata khalayak) sedia menerimanya.

Dengan mewabakkan penyakit “warga segera” (kata saya kepada Merjah), maka berertilah kerajaan Umbarnas hanya berfikir tentang manfaat terkininya semata. Kerajaan tampaknya seolah tidak selesa berfikir tentang kesan tindak cemarnya itu.
Ternyata, memang tidak cukup sekadar menyimbahkan “upahan segera” hampir ke setiap ceruk yang mudah terpujuk ternyata semakin galak dibudayakan. Orang memberi bukan ketika menjelang pilihan raya. Itu berbau rasuah. Orang berjanji ketika menjelang pilihan raya. Itu baru segak.

Kalau kita tidak menyanggah wabak penyakit kongkalikong ini, (kata saya kepada Merjah yang separuh Merak separuh Gajah) berertilah kita bantu menjangkitkan penyakit manipulasi kuasa. Kita tohor. Malah kita kotor! Sebab, kita bantu mencipta kuasa demi memulakan—kemudiannya melestarikan—budaya gelumang dosa.
Memang kini kita sudah pun sampai ke tahap kekalutan kuasa secemar-cemarnya.

Kerajaan Umbarnas terus degil—enggan melayan saranan Bersih. Mereka seolah-olah sangat yakin terhadap tindakan matlamat menghalalkan cara. Ya, kuasa itu nikmat.
Kata saya kepada Merjah: Cukuplah dekad kuasa elita bangsawan selama lebih lima dekad itu. Janji menyuburi ekuiti bangsa pun mereka gagal seburuknya? Malah keluhuran bahasa dalam Perlembagaan pun mereka langgari. Perlembagaan tidak murni? Dan banyak lagi senarai kebobrokannya. Mereka suburkan semangat kronisma senyala-nyalanya dan melahap dana negara seghairah-ghairahnya. Kita lalui lima dekad yang lahap!

Makanya, cubalah menjadi anak lelaki yang sedia memungkinkan tafsiran kuasa terbaru. Jengahlah bagaimana kini Kerajaan India menangangi skandal ala Scorpene-nya dan memperelok landas demokrasinya. Rata-ratanya yang bergerak itu golongan bawahan—paling utama Anna Harare! Mereka sedang mempercantik wajah dan mempermurni batin bangsanya. Tidak mustahil kelompok daripada golongan murbawan kita juga berupaya menyembuhkan penyakit lahap kuasa yang sedang meraja-raja itu. “Oh” dengarlah “Jeritan Batinku.”

Cukuplah dedekad kuasa elita bangsawan. Kini, benarkanlah pula upaya permulaan era kuasa murbawan untuk menerjemahkan erti kuasanya pula.

Hentikanlah cengkaman dan kesombongan lama. Belajarlah bersantun menerima pusaran nasib demi kebahagiaan bangsa.

Khusus kepada generasi muda, sedarlah kebobrokan ini. Jangan risaukan sangat orang lama; mereka memang sudah lebih awal termadu atau tercandu. Anda yang masih BERSIH!

Posted in Uncategorized | 9 Comments

Ranum Ramadhan

Fajar harum, bermula salam dalam udara
yang mengkhusyukkan. Semuanya tiba
terhampar dalam sepi bermusim sabar:
Hati dan budi didakap tulus oleh solat,
dalam gementar yang sentiasa syahdu.
Dalam nafas jerih bulan paling jernih.

Amalan puasa mencabar dan mengajar.
Terlimpah sepadat makna yang perih;
kita belajar dari derita yang pedih;
dan dalam bulan ujian terlalu garang
kita masih boleh mengutip kesejahteraan.
Dongak ke angkasa rahsia mengkhayali

lapisan sfera, ke kalbu tersentuhnya
kita, digundahi kekaguman luar biasa:
Bumi anugerah Allah dan terpilih kita
khalifahnya, datang yang dianugerahi,
boleh memberi, boleh juga memungkiri,
terpulang santun memilih atau menafi.

Bulan ini memangnya saat bertafakur,
bersedia memurni diri jika bersyukur,
kerana puasa yang menguji, menjelang
Idulfitri, nafas kudus menghening diri,
terbimbing ke batin lebih berhemah.
Terima kasih kita sepadu syahdu arah

yang memang datang seiring anugerah;
kerana manusianya kita, dan kerdilnya
di hadapan Allah, wajar bersyukurlah
setiap saat, sepurnama, penuh mekar
dalam debar, membaca setiap iktibar.
Kita beransur ranum dalam bulan mulia.

14-16 Oktober 2002

Posted in Uncategorized | 6 Comments

Bersih, Bersih…Kasih, Kasih!

SENJA itu barulah masyarakat hewan di tasik indah tersebut dapat berhimpun semula. Seperti biasa, setelah enak mandi di tasik, Merjah yang sampai dulu. Entah bagaimana burung merpati yang bertiga itu sempat melakar warna dan kata pada badan Merjah sehingga terbentuklah abjad “B” hampir di serata badannya. Merjah bangga kerana dia tahu bahawa abjad “B” berlatar kuning itu bererti “Bersih”.

Merjah tidak risau akan persekitaran tasiknya. Tasik itu sentiasa tenang—dan pada waktu senja, sentiasa indah, sentiasa jernih, sentiasa bersih. Dengan tidak membacanya pun Merjah tahu bahawa abjad “B” itu sangat nyaring dan merdu bersuara. Dan seperti berulang didengarnya: “Bersih, Bersih—kasih, kasih!”

Semua penghuni tasik itu sudah pun pulang—melalui daratan dan angkasa—dari sejauh sempadan di Selatan dan di Utara . Sejak dua minggu lalu aliran manusia sudah pun mula ditapis oleh para kuasawan yang sangat megah berkuasa.
Sat dan Du yang masing-masing baru pulang dari Selatan dan Utara melaporkan bahwa semua aliran manusia dicemburui kelompok kuasawan ini. Aliran manusia itu dihalang, dihadang, dikekang dan dipalang supaya tidak sampai ke Stadium Merdeka.

Kelompok kuasawan tertentu itu bersungguh-sungguh menghalang, menghadang, mengekang dan memalang upacara penyampaian Memo Bersih

Hanya Tig saja tampaknya tidak henti-henti mendecipkan—menceritakan—tentang bagaimana ribuan manusia yang disengkang datang ke tempat perhimpunan itu. Gas pemedih mata dan pancutan air menyeksa menyamput aliran manusia. Kelompok kuasawan terpilih benci mendengar lirik senandung “Bersih” dinyanyikan seharmoninya.

Senja itu masyarakat hewan berkumpul lagi untuk menilai dan menafsir tindakan manusia dalam Peristiwa 9 Julai itu. Merjah tidak faham mengapa kelompok kuasawan “terpilih” begitu cemburu terhadap upaya memperbaik iklim demokrasi. Demokrasi rupa-rupanya ingin dikacip kepaknya agar tidak dapat terbang bebas.
Sebaik khalayak hewan penuh, Merjah pun bersyarah: “Hari ini kita belajar tentang kemurnian gerakan Bersih.”

Lalu, masyarakat hewan itupun menyanyikan senandung “Bersih, bersih…kasih, kasih!”.

Posted in Uncategorized | 13 Comments

Nikmat

Segala yang dihasrat
tapi tak didapat
adalah nikmat
yang paling padat.

Benih Harapan
1973

Posted in Uncategorized | 13 Comments

Kebenaran

Setiap yang benar
betapa ditekan
tetap menjalar,
tanpa dibaja,
kan tetap mekar,
tanpa udara pun
kan tetap segar.

Benih Harapan
1973

Posted in Uncategorized | 11 Comments

Ombak

Ombak yang menjamah
kakiku sekali
tak kan dapat
kukenali lagi.

Benih Harapan
1973

Posted in Uncategorized | 6 Comments

Isra’ Mi’raj

Amat mendadak segala berlaku, setiap detak dihayati Nabi,
pemandangan yang bercerita, dalam tamsil atau di luarnya,
semua mempunyai makna bagi Nabi dan umatnya – semua dinikmatnya.
Malam Rejab dua puluh tujuh, terpilih dan dianugerah, malam tuah
kembara kilat yang amat sempurna, mendesir angin dan udara,
harum sekitar diri dan semerbak melimpah seluruh kembara
di Jerusalem yang belum dilihat, tak pernah disua, kini dirinya
di mana menanti para nabi terdahulu dan Nabi mengimami mereka.

Al-Amin
Perenggan 1 Muka surat 146
1999

Posted in Uncategorized | 4 Comments

Penyair

Kepada setiap
penyair gundah
daun gugur pun
sentiasa indah.

Benih Harapan
1973

Posted in Uncategorized | 13 Comments

Unggun Bersih

Semakin lara kita didera bara—
kita laungkan juga pesan merdeka:
Demokrasi sebenderang mentari
sehasrat hajat semurni harga diri.

Lama resah kita—demokrasi luka;
lama duka kita—demokrasi lara.
Demokrasi yang angkuh, kita cemuhi;
suara bebas yang utuh, kita idami!

Dua abad lalu Sam Adams berseru:
(di Boston dijirus teh ke laut biru):
Tak diperlu gempita sorak yang gebu,
diperlu hanya unggun api yang syahdu.

Kini menyalalah unggun sakti itu;
kini merebaklah nyala unggun itu.

24—25, 6.11. A. SAMAD SAID

Posted in Uncategorized | 24 Comments