Teks Ucapan Penuh Pada Malam Pelancaran Bersih—19 Jun, 2011.

“Murbawan Malaysia tidak senang dengan apa yang sedang berlaku di negara ini. Kita menghantar pesanan yang sangat waras. Demokrasi perlu murni dan terus dimurnikan.

Kenapa kita tidak boleh memperbaik situasi? Kenapa kita harus membiarkan demokrasi diperkuda oleh segelintir kuasawan yang tampaknya bermaharajalela?
Telah lama kita tidak senang dengan aliran demokrasi yang diperkuda ini. Telah lama kita inginkan demokrasi yang bersih, bergerak atas landas yang murni.

Kita sedar bahawa jalan ini tidaklah mudah. Maka itu, kita menjadi lebih berazam. Kita maklum bahawa gergasi media arus perdana kini sedang ikut garang menghempit kita dalam arus peristiwa yang semakin durjana. Kita sedang berlawan dengan keangkuhan yang pejal. Oleh media arus perdana ini, kita sewenangnya digambarkan sebagai kumpulan “siasah” yang sangat bercita-cita buruk. Lebih buruk, kita digambarkan sebagai kelompok yang sengaja ingin menggelorakan masyarakat seburuk hajat.

Kita tidak begitu. Kita ingin memperbaiki jentera demokrasi agar lebih berhati nurani.
Kita tidak menginginkan demokrasi yang kasar dan sombong; kita merindukan demokrasi yang tulus dan betul.

Inilah gerakan kita yang, sayangnya, terpaksa bermula di tengah keangkuhan kerajaan yang merasa segala-galanya sudah betul, malah sudah syurgawi, di tanah air ini. Kita sebenarnya masih dalam derita yang terus dicipta oleh tangan kasar berhati angkuh yang sangat bercita-cita.

Kita merindukan suara kuasa yang waras dan insani; suara pembimbing yang ikhlas dan mengerti. Kita tidak memerlukan suara angkuh dalam era yang sudah terlalu lama sombong ini. Kita mengharapkan tangan kuasa yang berhemah, sedia memimpin dan berdamai, turut bantu mencipta iklim demokrasi yang harum.

Memanglah kita mengkhayalkan dunia indah itu, walaupun kenyataan yang terserlah dan mengembang kini sedang menunjukkan di atas kepala kita sentiasa sedia terapung awan kelam yang menjanjikan tofan.

Jikalau berlaku, kita bukanlah kelompok manusia yang gamam berlari; kita, sebaliknya, adalah manusia yang cekal berdiri. Kita ingin memupuk demokrasi yang lebih berhati nurani.

Dua ratus tahun dulu seorang tokoh kecil Sam Adams, dengan kelompoknya yang kecil juga, telah mencurahkan teh ke dalam laut di pelabuhan Boston, Amerika. Kata Sam Adams: “It does not require a majority to prevail, but rather an irate, tireless minority keen to set bushfires in people’s minds.”

Kita nyalakan unggun api itu pada malam ini!”

(Perhatian: Kerana dibataskan masa hanya seminit seorang, maka saya yang mewakili GMP, hanya sempat membacakan dua perenggan terakhir teks ucapan ini.—A. SAMAD SAID).

Posted in Uncategorized | 73 Comments

RANDAI KERA

Setelah tumpas tujuh undi
atas bukit calon bersepi
memarakkan unggun kata:
Bahasa kempen makin berhias janji;
kerlip loket kerlap rantai kaki.
Terkadang ia teka-teki amat peribadi;
digoreng ikan kering terhidang ayam
garing. Terkadang teka kata purba ia,
terjawab pun masih samar hurufnya. Atau
silap mata: Singa liar ditutup gebar
meloncat menjadi kucing lapar.

Sesudah menang tiga undi
ke puncak busut calon berlari,
terkinja, meraung ngeri:
Bahasa kempen kini lolong sepanduk
senyum dirakam terjelir ular senduk.
Terkadang ia penyangak uzur
sempat diperdaya janda subur.
Terkadang ia busana indah, banglo
mewah, calon kaya. Memang ia
disaluti dusta tapi, aneh, dipercaya.
Maklum begitu memang manusia.

Sebelum mengikis poster lusuh,
merokok,meneguk teh keruh
menyanyi pembantu serahsianya:
Bahasa kempen nyaring bagi yang
kuasa kerana akhbar, radio, TV
.menjeritkannya; terbisu bagi yang
sanggah kerana media yang sama
seperti tertetak saja lidahnya.
Bahasa kempen sering menghantar
mimpi jampi; terbang cergas
kerana magis dana yang sakti.

Sebaik menyokong calon sandar
khalayak sangsi sesama sendiri,
menjerit ke langit gusar:
Bahasa kempen menjadi lidah
sumpahan, jika, demi kuasa, tidak
tulus diperjuang keluhuran.
Sedetik selepas balai sepi
bulba lampu tersentap mati
melengking derap suara:
Bahasa kempen harus hati nurani
ikhlas, berhemah dan suci!

Seelok semua sumber berdengkur
dari tengah rimba di sisi kubur
berandai ghairah sekawan kera:
Memang inikah mimpi manusia?

21—22.3.99 —A.SAMAD SAID

Posted in Uncategorized | 7 Comments

Khabar Panas Dari Hang Bayan

KALI ini pertemuan mereka disertai oleh Hang Bayan yang terbang khusus dari Rajghat di India. Hampir ke semua masyarakat haiwan sedia menunggu resah sejak awal lagi—ada yang seawal tiga jam. Sat dan yang Tig sedang berbisik sesuatu meneliti sesama sendiri—resah dalam rahsia. Merpati Putih yang gembur bulunya cuba menapis isi perbualan dua ekor burung yang mongel itu.

Memang Sat dan Tig kecil, tapi—dalam banyak hal—peranan (malah sumbangannya) besar. Mereka pendengar yang baik dan penyebar yang santun. Tig terbang seketika, cuba mendekati Hang Bayan, tapi cepat menenggek semula di sebelah kiri Sat.
“Ada terhidu apa-apa?” tanya Sat.
“Gerun,” jawab Tig. “Pasti ada masalah besar….”

Merjah meneliti setiap pergerakan hadirin. Badannya segar kerana baru selesai mandi di tasik. Memang suasana gabra, fikirnya. Bondongan burung tiba-tiba serentak turun menghinggapi dahan-dahan yang lengang.

“Saya kira hadirin telah mencukupi,” kata Merjah. “Bolehlah dilaporkan,” tambahnya.
Hang Bayan yang sangat berwarna-warni kepaknya, malah kepalanya, sebenarnya bermandi warna kuning dan ungu. Hang Bayan lain daripada burung sejenisnya.

“Begini saja,” Hang Bayan memulakan. “Kata Merjah tadi pertemuan ini adalah mengenal tabii manusia. Anda semua tentunya sudah tahu tentang kekejaman sesama insan di Tunisia, Yaman dan Libya. Tapi yang ingin saya laporkan bukanlah tentang kekejaman itu,” kata Hang Bayan. “Yang ingin saya dedahkan di sini ialah tentang kehalobaan manusia. Mereka berfikir tapi haloba; mereka berpelajaran tapi korap.”

Lalu Hang Bayan pun berceritalah tentang Anna Hazare (agamawan yang papa) dan Baba Ramdev (agamawan yang kaya) bergabung tindak untuk menentang amalan korapsi di tanah besar India. “Sepatutnya saya bercakap tentang penyakit manusia ini, tapi, kerana tampaknya ada pengintip di tengah kita, maka maaf lain kali sajalah.”

Lalu, hadirin pun menjengah ke sesama sendiri, menduga-duga siapakah sang pengintip itu.

Cuma Merjah yang tersentak itu ingin menyuruh anaknya “menggoogle” Anna Harare dan Baba Ramdev.

Posted in Uncategorized | Leave a comment

Dialog Agama dan Kuasa di Taman Kereta Api

HANYA sehari suntuk saya berada di Butterworth dan Alor Setar secara bergilir Ahad lalu. Naik kereta api malam pergi balik—pergi malam Sabtu, pulang malam Ahad—harga tambangnya seperti harga sewa dua malam di bilik hotel selesa. Sempatlah menghadiri sebuah majlis kahwin dan sempat juga merayapi Butterworth dan Alor Setar. Memang sampai ke destinasi yang dihajat, tapi perjalanan itu sendiri ternyata destinasi juga.

Melihat, membaca dan bergaul, saya bertambah ranum.

Antara pengalaman rohaninya ialah bertemu teman ulama di Taman Stesen Kereta Api Butterworth. Senja sedang cantik waktu itu dan burung becok berkicau—dan dua ulama itu bercakap tentang solat.

Sebenarnya mereka memulakannya dengan kisah pemilihan tokoh dalam Muktamar PAS. Kedua-dua teman itu tampaknya cuma mengulangi tafsiran media arus perdana yang percaya—malah taksub—bahawa kemenangan itu adalah kemenangan golongan “Anwarinas”. Media arus perdana apalagi yang difikirnya?

Dan kepada seorang teman “bukan ulama” sebelum itu saya turut menguji tafsirannya. Baginya, “itu ‘kan politik!” Maksudnya, politik tentu saja begitu. Media arus berdana siapa pula tuannya? Tidak jelas, tapi saya percaya dia tidak bersedia “gaduh” soal siasah.

Saya sendiri—apabila ditanya—mengatakan bahawa politik sememangnya pertunagan peluang antara siasahwan untuk ke pelamin kuasa. Memang selalu ada perkahwinan sementara!

Tapi, beruntunglah dua orang teman ulama itu kemudiannya lebih mengalir ke soal-soal ibadah—khususnya cara berkesan mengkhusyuki solat. Telinga saya asyik.

Sementara menanti kereta api berangkat pulang jam 11 malam, sempatlah saya ke surau Stesen Kereta Api Butterworth itu menyempurnakan ibadah—solat yang sekhusyuk saranan dua teman ulama itu.

Dalam kereta api kemudiannya saya mengenangi semula peristiwa dialog agama dan politik itu. Saya terbayangkan Mohamad Sabu sebagai Timbalan Presiden PAS. “Anwarinas”?

Tugas media arus perdana—apa lagi selain itu?

Posted in Uncategorized | 4 Comments

MEMBAKAR BAHTERA

Maaf, bangkitlah. Janganlah tidur, Dayang Fina!
Bangsaku sedang terhumban dalam kawah dosa.
Bubur liur muntah kata penguncup bahasa
kini berterusan tercurah ke tekak bangsa.
Kita dihulurkan panji bergelumang nanah,
digesa agar ghairah menjulang setingginya.
Di bawahnya, kita disihir menjadi angka
bertandak serancak mengejek Akta Bahasa.

Tangan kuasawan yang berlinang biliona
melupuskan ekuiti bangsa seenaknya—
menyuburkan taman budaya wangsa penjajah,
membakar bahtera khazanah Dato Hang Tuah.
Usah lena lagi—usah, usah—Dayang Fina!
Wira harta terus mengejek istana kata,
menyihir murbawan jadi sekedar boneka
untuk lanjut angkuh meludah Akta Bahasa.

Kita sedang diasuh mendakap kepalsuan,
dalam senyap, menajisi benih kebenaran.
Hikayat hemah wajar bangat diulang baca
sebelum bangsawan sedar hikmahnya aksara.
Maaf, jangan lena, jangan lena, Dayang Fina!
Bangsa sedang gelupur dalam cekau kuasa.
Pendeta perlu cepat ganti gigi ke taring,
meraung senyilu nasib bahasa yang gering.

Maaf, kini tidur selenanya, Dayang Fina!
Cuma, jangan dilupai penakek bahasa.

30, 31 Ogos—3, Sept, 09. A. SAMAD SAID.

Posted in Uncategorized | 3 Comments

Kita Mulai Menjadi Bangsa Yang Kebas

TENTULAH ada yang sempat merasakan bahawa bangsanya kini sedang mulai kebas. Banyak peristiwa berlaku hampir secara memburu—khususnya soal pertarungan kuasa yang ternyata amat berat sebelah.

Dan, ini, sengaja dimungkinkan oleh media arus perdana yang tampaknya memang cenderung menjadi media arus durjana. Media begini cenderung, malah sengaja, menghantar atau mengapungkan hanya berita-berita sebelah pihak. Kita hadir, mereka tidak. Kita penting, mereka tidak. Malah, kita benar, mereka tidak. Begitulah.

Segala yang buruk tetap saja di pihak oposisi; sedang yang baik pasti saja di pihak pemerintah. Dengan begitu, kita hanya “dibenarkan” atau “dipaksa” untuk melihat hanya wajah—dan batin—bangsa yang sebelah saja.

Selalunya, malah sentiasa, kita digesa menelan kisah-kisah buruk pihak oposisi saja. (Kisah video lucah contoh klasiknya). Dan oleh ulangan itu, apalagi oleh kekerapannya, maka yang terlihat hanya oposisi yang racun. Di pihak pemerintah sentiasa penawar.

Pihak oposisi tidak punya media yang cukup untuk melawan. Berjuang hanya dua kali seminggu—melalui akhbar tabloid kurusnya—melawan gergasi media arus perdana (akhbar, radio dan TV terbanyaknya) yang seharmal itu, tentulah ia satu perlawanan berat sebelah yang amat lucu. Maklum, yang seorang didera menggunakan keris, sementara yang seorang lagi diwajibkan menggunakan meriam.

Barangkali memang itulah demokrasi a la negara kita.

Kerana demikian keadaannya (maksudnya, kesombongan media arus perdana yang seharmal itu), maka rakyat terbanyak tidak sempat, malah tidak cekap, menyaring fakta dan mewaras tohmah yang ghairah terhidang dalam media yang berat sebelah.
Tampaknya, kita sengaja diasuh untuk menerima saja apa yang dicurahkan oleh media arus perdana. Kerdipan tajuk-tajuk utama berita membenamkan kebenaran yang memangnya ingin dibenamkan. Maka itulah kita mula menjadi bangsa yang kebas.

Posted in Uncategorized | 18 Comments

Jika Airmu Tiba-tiba Menghilang…

AIR BERBUIH yang mengerdip indah itu mendamaikan saya. Sesekali beberapa helai daun kering jatuh terletak sopan di atas air yang terus berkocak menokok pula khayalan saya. Saya berada di Titi Hayun waktu itu. Tidak terdaya mendaki seribu anak tangga yang menjanjikan ketakjuban alam yang lain, saya cuma cuba menikmati aliran air yang segar menggelecek dirinya di celah bebatu yang besar dan kecil. Buih air sentiasa memutih, hilang dan muncul hampir serentak.

Saya damai di Titi Hayun selama tiga hari dua malam minggu lalu.

Betapapun, saya datang ke daerah Yan itu bukanlah untuk kedamaian diri semata-mata. Saya bertugas sebenarnya—khidmat kecil tapi penting (malah ada kalanya sangat penting).

Kepada sekelompok peserta berbobot—seperti selalu—saya gemar dan tulus mengulangi kisah awal saya “tercipta” sebagai seorang penulis.

Saya mengulangi bahawa barangkali pengalaman yang teranugerah pada zaman kanak-kanak saya dulu sempat melandaskan asas dunia penulisan saya. Sejak kecil saya telah didewasakan oleh derita perang. “Derita itu aku,” kata Janda Setinggan. Tapi di sini “Derita itu saya!”

Saya lahir dalam zaman penjajahan; dalam zaman perang dalam zaman penjajahan lagi!

Walaupun, kepada sesetengah orang, saya sekadar mengulangi lembaran lusuh, tapi tampaknya, hampir setiap khalayak seni baru, pengalaman saya itu tetap “baru”. Generasi muda tidak akrab dengan pengalaman pedih zaman perang. Dan, rupa-rupanya—kata saya kepada khalayak bengkel—penderitaan adalah pengilham seni. Daripadanyalah sebanyak 76 buah karya seni saya (kecil, besar, tipis, tebal) lahir.

Berdiri lama merendam kaki ke dalam air berbuih yang berbisik riang di Titi Hayun minggu lalu, pada detik-detik syahdu saya teringatkan ayat Surah Al-Mulk: “Katakanlah, “Cuba terangkan! Jika airmu tiba-tiba menghilang di dalam tanah, siapakah mendatangkan mata air mengalir jernih bagimu?”

Posted in Uncategorized | 10 Comments

Dengarlah, Jika Masih Ada Telinga.

KICAUAN saya (Twitter saya) minggu lalu tampaknya merdu dan nyaring bunyinya. Sangat didengar khalayak bijaksana. Saya cuma mengicau ringkas (tapi, mungkin, tangkas): DEMOKRASI. VIDEOKRASI. IMUNITI. Dan Alhamdulillah, tidak tersangka, kerdipan tiga kekata ini sangat difahami, malah diteliti. Maka, berlakulah satu dialog yang mengiktibar. Khusus tentang DEMOKRASI, misalnya, Aladdin Seagull menegur: “Demokrasi seperti di TT (Timur Tengah)?”

Psychedelic Fadly menyarankan: “Perlu revOlusi”, yang cepat disanggah Effendi Johor dengan; “Tak perlu revolusi. Hanya transformasi dari segi pemikiran.”
Aladdin Seagull cepat menegur: “Revolusi sampai kena bom?”

Dan terpulanglah kepada umum untuk menghakiminya sejujur atau setohornya.
Kekata VIDEOKRASI ternyata sangat difahami. Contohnya, Izzat Amir Hamid meledakkan hanya satu kata: Korapsi. Tapi, Aladdin Seagull menjawab lagi: “Dah ada SPRM kira OK juga!” Tiada yang menyampuk. Sebaliknya, muncul kembali kesan VIDEOKRASI dari Abd Rahman Kamir Yaacob yang bertanya: “…Apa mungkin maruah kita boleh dipertahan dengan Videokrasi ini?”

Med Daiyon cepat menjelaskan: “Videokrasi=cara terbaru untuk demokrasi mengaut imuniti.” Maka, tersingkaplah rahsia di sebalik langsir “imuniti” itu. Maksudnya, ada semacam tafsir kongkalikung oleh kuasawan. Ada yang “keruh” dimurnikan, dan ada yang “murni” dikeruhi.

Reaksi selanjutnya bolehlah disimpulkan melalui ayat sinis yang panjang daripada Mohd Zaud Zaidi yang berkata: “Salam, sebab dipimpin oleh orang yang tidak bertakwa…membelakangkan hukum Quran dan Sunnah dan mengagungkan hukum penjajah…”

Tidak payahlah saya mengulasnya. Cuma, saya berharap masih ada segelintir kuasawan yang sedia tekun mendengar suara-suara kecil yang waras ini, kalaulah mereka masih ada telinga. Lebih-lebih lagi kalaulah mereka masih waras!

Posted in Uncategorized | 11 Comments

EUFORIA—TASIK RENANG YANG INDAH

Dunia seni sentiasa aneh. Di mana-mana. Dan dalam keanehan itulah pula lazimnya seniwan rajin berpesan: dunia tidak harus begitu; seniwan tidak harus begini. Tapi, gemar atau benci, kita sempat ranum daripada keanehan seniwan itu.

Seni sewajarnya dan biasanya indah—maklumlah “seni”. Tapi, tampaknya tidak pula begitu keadaannya kepada Nur Hanim Khairuddin. Kepada Nur Hanim seni sangat berpesan. Selalunya warna hanya untuk mata; lagu hanya untuk telinga. Sebenarnya seni juga memerlukan hati nurani—lebih dari mata dan telinga.

Melalui “Euforia” yang menghimpun kritikan seninya—seni juga terbukti kekacauan. Banyak yang harus diredah, banyak yang harus dihujah. Nur Hanim cuba membantunya melalui beberapa pengamatan. “Euforia” menjadi lebih sesuai dipanggil “Eufolara”—kerana memang sengsara seniwan itulah yang nyaring dijeritkannya.

Sejak Haslin dan Kojek membawa kepada Fathul dan Rahmat dunia catan adalah dunia resah. Seni bukan untuk mata; ia lebih untuk qalbu. Dan begitulah dari sebuah kritikan kepada sebuah apresiasi, Nur Hanim Khairuddin bercakap dengan separuh ria dan separuh lara. Tentang seni, tentang seniwan. Dan seniwan dan dunia mereka didapati sering kurang serasi. Malah sering berbalah.

Memanglah sangat jarang dapat dihayati dunia seni secara real, apalagi dengan tulus. Seniwan yang biasanya insan bersembunyi tidak sama sekali menghiburkan. Kebanyakan karya mereka adalah halaman-halaman perit kehidupannya yang dicakarkan melalui pelbagai jenis media warna dan segala bentuk yang terkhayalkan.
Nur Hanim Khairuddin sangat tulus dengan penemuan seni yang sangat seharian ini. Yang resah dihurai keresahannya; yang ria tidak disembunyikan puncanya. Nur Hanim dengan langgam bahasanya yang berat cuba meringankan sengsara seniwan.

Himpunan esei ini dalam “Euforia” memang mengembara sangat jauh—malah letih—mengesani setiap kepiluan dan kemarahan seniwan. Lukisan, nyanyian dan persembahan hanya “alat” penghubung. Tanpanya seniwan hanya seniwan sendirian. Dan di sini tampaknya, Nur Hanim Khairuddin menjadi penghubung yang simpatik. Norhaslinda Nordin—yang kecil molek, menurut Nur Hanim—tidak kecil molek pesanan karyanya. Norhaslinda menyesali natijah “kemajuan teknologi”. Jeri Azahari yang arwah cuba sedamai di pentas grafik pop—Jeri pilu dan resah—apalagi Allahyarham tidak sempat meranum jauh.

Dan mengembara di celah-celah rimba seni harian mereka—termasuklah di celah-celah karya matang Ahmad Fuad Osman, Zakaria Ali, Hasnul J. Saidon dan Siti Zainon—kita teresap ke dalam dunia pesan berilmu, dan, tidaklah aneh, ilmu juga tampaknya sempat menyebelahi kesengsaraan dan kesunyian.

Hanya pada dunia seni perfoman segala-gala menjadi lebih mendobrak—malah terkadang kegialaan. Terlihatlah wajah dunia yang tidak tenang—terasalah kekacauan yang, anehnya, “membijaksanakan”.

Nur Hanim Khairuddin memasuki hampir ke seluruh bidang seni teman-teman seniwannya. Dan daripada setiap bidang itu, dia dia sentiasa cuba menghantar keresahan dan harapan para seniwan. Dunia filem resah; dunia pentas resah; dunia lagu resah. Bayangan keadaan nasib seniwan yang cuba diwakili oleh sampah sarap yang “disenikan” mereka. Segala ini bukanlah sepenuhnya kesalahan seniwan. Ada yang sempat melawan—dan menang. Ada yang tercicir di tengah jalan—tidak kalah. Malah “semangat” dekad yang dilalui para seniman yang jarang-jarang terbela hidupnya itu menjadi kisah sufi yang sedap tapi lara.

Di situlah tampaknya sumbangan para kurator seni seperti yang teramanah kepada Nur Hanim Khairuddin.

Sangat banyak yang dikembarai dan ditangguk—dari desa ke kota; dari dalam negara ke luar negara—semuanya demi memperanum dan memperharum dunia perkembangan seni.

Kepada mereka yang tidak berlatarkan seni, “Euforia” pastilah berat. Tapi, kepada mereka yang memang sentiasa terendam dalam dunia tersebut, “Euforia” adalah tasik renang yang indah!

—A. SAMAD SAID.

Posted in Uncategorized | 2 Comments

Mandi Rasuah

Dia mula mandi air rasuah
konon dari pancur air amanah.
Dia bersihkan (atau kotorkan)?
Yang penting dia bermandi
bawah pancur harta dan kuasa.

Dia luaskan dewan layandiri
berlatih menjual apa saja—
rumah, tanah, ekuiti, maruah.
Dia menyanyikan lagu ringgit
bagi kelompoknya yang buncit.

Setiap tahun dia galak bertani,
menyuburkan slogana itu-ini.
Apa sajalah asal dipercaya.
Rakyat yang dilatih berasuah
mula nyanyi lagu-lagu dosa.

Dia dipupuk menjadi peniaga
demi untung, deminya saja.
Dia diasuh menghitung ringgit,
dijanji harta sungai dan bukit
tanpa ilmu pun dia tetap bangkit.

Dia tergalak bermandi air rasuah.
Kita bahagia, kita bersih, jeritnya.

—A. SAMAD SAID.

Posted in Uncategorized | 11 Comments