Membalas Budi Cara Paling Hina.

DUA dekad lalu saya pernah tumpang di rumah novelis “Interlok” di Brunei selama tiga hari. Saya mengembara. Itulah kali pertama saya belajar mengenal resam dan langgam hidupnya. Saya mendengarnya baca al-Quran ke sayup malam—mendengarnya lagi sebelum Subuh. Novelis ini amat damai.

Dengannya saya saya selalu didorong berbual tentang akhirat.

Saya sebenarnya mengikuti sejarah hidup Abdullah Hussein (Datuk) sejak dekad 50-an ketika beliau di akhbar Semenanjung. Daripada Ibrahim Legori (arwah) saya memetik sejarah awal perjuangan Abdullah Hussein di Indonesia dan di Malaya. Dia adalah jambatan perjuangan di Indonesia dan di Malaya.

Menurut Aeby Muara, Bung Abdullah menjadi perunding pembelian senjata demi perjuangan Kemerdekaan Indonesia. Semangat kemerdekaannya suci menyala.
Usman Awang (arwah) memanggilnya Nyak Abdullah. Saya memanggilnya Bung Dollah. Usman menulis sebuah puisi khas meraikan perkahwinan awal Nyak Abdullah. Keris Mas berani berjenaka dengannya. Saya mengutip pengalamannya.

Bung Dollah sentiasa sedia menolong. Ketika P. Ramlee (arwah) menemplak para wartawan (“Wartawan di bawah tapak kaki saya”—begitu khabarnya), Bung Dollah-lah, menurut Asraf Wahab (arwah), berupaya mewaraskannya. Dan ketika kawan-kawan tertentu ingin memulakan penerbitan garang, Bung Dollah-lah yang bertungkus-lumus mengasaskan modal melalui novel “Kuala Lumpur Kita Punya” menurut Pak Sako (arwah).

Bung Dollah sentiasa mengutamakan kerja kebajikan seniman. Bagi teman-teman ASAS 50, dia terlalu muhibbah. Jarang marah, seingat A.S. Amin (arwah).

Begitulah juga sebenarnya inti karya-karya pentingnya. Dari yang duniawi kepada yang ukhrawi, Bung Dollah penulis damai. Dalam “Imam” dia menegur agamawan.

Dalam “Interlok” dia menegur bangsanya.

Tapi, kini apa upahnya? Dia seenaknya dikata memperkecil kaum. Karyanya dibakar, gambarnya dibakar. Beradab sungguh.

Mengenangnya baca Quran malam hari dan Subuh, mengingatnya berjuang dan berkawan dengan teman seniman. Saya kira “kita terlalu terhutang kepadanya”.

Kini, kita membalas budinya dengan cara paling hina. Terima kasih!

About samadsaid

Writer
This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.

11 Responses to Membalas Budi Cara Paling Hina.

  1. Poskad Siti says:

    http://www.bernama.com/bernama/v5/newsgeneral.php?id=554739

    “The Education Ministry special committee will study the use of a novel entitled “Interlok” as a required text for the Malay Literature subject in Form Five starting this year. Its deputy minister, Dr Puad Zarkashi said the study was ordered by Deputy Prime Minister Tan Sri Muhyiddin Yassin following outcries from several quarters in efforts to protect racial harmony.”

    demikianlah mudah dan murahnya rasa.

  2. pena marhaen says:

    begitulah cara orang kita menilai seni dan karya sasterawan ulung…

  3. Walaupun saya terlewat mengenali beliau, hanya selepas melalui Imam – kecerdasan beliau tentang sosiologi masyarakat begitu “memukul” pemikiran bangsa kita.

  4. azrulazly says:

    Saya seperti mahu menangis apabila membaca tulisan Pak Samad…
    Mmg kebanyakan rakyat negara ini tidak pandai menghargai…

  5. zulkifli says:

    orang sanggup mempolitikkan karya agung demi halwa sendiri…

  6. ekin says:

    Sedih bila hasil intelek diperlaku begitu.. Tiada ilmu patut diperlaku begitu..

  7. nur says:

    manusia kini terlalu berfikiran logik dan terlalu mudah untuk menolak sesuatu sebelum mengkaji di sudut yg dalam

  8. Pak Samad,

    Saya tersentuh dengan kata-kata “kini kita membalas budinya dengan cara paling hina”. Polemik Interlok bukan sahaja membuka satu perbahasan baru mengenai cara orang lain memandang SN – bahkan membuka pekung di dada orang yang tidak membaca tetapi menempelak membabi buta.

    Ibarat babi hutan yang merodok tanah; begitulah lagak mereka.

  9. gula gula says:

    saya sering terkesan dgn penulisan pak samad
    orang yg tolol saja lagaknya demikian

    isu kecil sebegitu diperbesarkan

  10. Anai-anai.. says:

    assalamualaikum..

    seronok membaca nukilan Pak Samad…terlalu kerdil diri ini untuk bercerita tentang novel agung SN…semoga semuanya baik-baik belaka

  11. Miss S. says:

    setuju. Interlok karya jujur. ‘kini kita membalas budinya dengan cara paling hina’.

Leave a comment