Posted in Uncategorized | 4 Comments

LANGKAH LESTARI

Sejak subuh ini resah mendera qalbuku
mendengar nafas bumi yang cuba syahdu.
Di tengah rimba aku tekun menyanggah lara,
mewarasi setiap suara derita atau rianya. 
Subuh ini seluhur tekad kupadu qalbu
kerana terdengar rimba masih juga diganggu.
Dan walau anak rimba cuba tulus menyanyi
taring haloba masih bengis menoda bumi.
Di mana lagi dapat kuhirup udara yang murni,
setiap detik, dan serentak, terhidu elegi bumi?
Di sini—dedaun bersyair kepada leluhurnya,
bunga rimba cuba menari depan keluarganya.

Walau sungai serahsianya masih merdu mengalir,
kembaranya tetap resah di sisi ikan yang getir.
Dan kita mula terdengar suara rindu abad lalu,
menyerap gelak mewaras sedu, segala yang pilu.
Kita tidak akan rela berganjak mendakap alam
khusus ketika ia sedang terus terdera kejam;
kita tak rela dengar rintih rimba yang murung;
atau menyerap tangis dedaun dan sedu burung.
Kita berazam cekal berlawan di qalbu rimba
memanfaat setiap kitab lara dan buku sengsara.
Dan dengan sederap rentak dan sesyahdu suara
kita tetap bertekad melindungi rimba terdera.

Kau yang pendera usah berhelah atau berpura
kerana sedalam kuburmu rimba akan membela.

(A. Samad Said)

Posted in Uncategorized | 8 Comments

Kata Luhur

Lukisan-lukisan

Link | Posted on by | Leave a comment

PESTA MUZIK BESAR DI LANGKAWI (I)

PADA 10 November (Khamis) walaupun berangkat terlewat 40 minit kami sekeluarga mendarat selesa di Lapangan Terbang Langkawi. Wakil penganjur One Earth Music Festival sudahpun menunggu dengan van selesanya.
Inilah kali kedua saya tiba di pulau lagenda ini selepas satu dekad. Saya sekadar menemani Az, anak saya yang pemuzik itu.

Wajarlah saya terharu ketika melalui deretan kedai busana dan kafe diselangi resort warnian di kiri kanan jalan. Pelancong luar yang kelihatan ramai—(mereka yang lumayan lari daripada cuaca sejuk negaranya, jenaka seorang penumpang). Memang nyata di kiri kanan jalanan ramai pelancong dari Eropah dan Asia Barat.

Rombongan kami (dipimpin sebaiknya oleh Zarul Albakri) dibawa terus ke resort The Frangipani Langkawi yang terletak indah di tepi laut. Di angkasa kelihatan beberapa pencinta udara sedang melayang diseret pepayung kembang yang warnian juga. Di permukaan laut pula kelihatan empat buah bot laju sedang cergas mengheret penghuni pepayung tersebut. Olehnya, langit senja yang berseri itu bertambah seri.

Sungguh beruntung kali ini saya sempat menyaksikan mentari terbenam. Kali terakhir menyaksikannya sedemikian lebih sedekad lalu ketika di Pantai Timur. Mentari yang bulat garang secara senyap dan pantas ditelan ufuk—seolah diserap laut.

Ketika makan malam saya berkenalan dengan beberapa orang pemuzik jagoan— antaranya dari Indonesia dan Brazil. Saya sebenarnya lebih banyak menyendiri kerana dunia muzik dan dunia puisi sedikit asing. Mereka ghairah bersembang dengan sisipan berulamkan jerit dan gelak yang panjang. Saya bantu ketawa!
Khabarnya, inilah kali pertama pesta irama dicuba secara gengsian di Langkawi. Peminatnya datang dari merata dunia. Saya peneman Az datang dari Bangsar.

Saya nyenyak tidur malam itu.

Posted in Uncategorized | 2 Comments

Tapak Yang Luhur

TAPAK YANG LUHUR
(Istimewa buat Dr. Burhanuddin Al-Helmy)
 
Bertapak atas batas yang luhur
bersumpah lidah sufi tersohor,
disedarkannya lara bangsa
waja dirangsang tepis membantah.
 
Awal lagi semangat bernyala
dihembus bara merdeka bangsa.
Pagi ke malam berjuang tegap
di tengah rakyat gigih bersikap.
 
Bersilat atas bumi yang subur
bisik bersikap qalbu sejujur—
menyala unggun zaman yang garang
membakar tekad cekal berjuang.
 
Bersama bangsa bangkitlah ia
tegas perkukuh asas merdeka.
 
27—28, Sept, 2011—A. SAMAD SAID

Posted in Uncategorized | 3 Comments

Malam Doa

Kita mengesani kembali kisah syahdu Israk dan Mikraj,
tekun meniliti ketakjuban Nabi sepenuh hayat;
kita semak setiap ayat dan masuk khusyuk ke dalamnya,
mengangkat iktibar permata, bergetar dalam pesannya.
Kita dirangsang terus beribadah tulus kepada Allah.

Siang yang memberi kita perisai untuk mengawal diri;
malam direndami doa mengantar kita ke tahap suci.
Dan maghrib melerai simpul nafsu yang garang menguji.
Antara jari-jari waktu ini kita makin bertambah tahu,
Ramadhan mendakap kita dengan pelukan akrab rindu.

Setahun lagi – kini kita semakin erat dirahmahi puasa;
Aidilfitri dengan gemalai asyik melambai seghairahnya.

16-30 September 2003

Posted in Uncategorized | 1 Comment

Aidilfitri Mesra

Datanglah lagi ujian – kita semakin didewasakan.
Wirid terdengar nyaring walau dalam kesenyapan.
Kita hayati hikmah antara tasbih dan solat malam,
berdamai atas sejadah, khusyuk taat depan al-Quran;
nafas kita semakin wangi oleh ranum pembacaan.

Dalam kerlip serba indah kita sambut Ramadhan mulia;
segala rindu di qalbu menghangat kasih ke Rasulullah.
Dalam lenggang waktu begitu mesra, di tengah ummah,
kita menghimpun pujian sekhusyuk untuk Baginda,
lebih-lebih lagi – dalam jujur dan takwa – kepada Allah.

Setahun lagi – kini kita diranumi musim puasa.
Aidilfitri datang bakal memahkotakan ibadah kita.

16-30 September 2003

Posted in Uncategorized | Leave a comment

Ramadhan Wangi

Kemarau – ujian yang genting ini – paling keras mengguris;
ia memimpin ke iman syahdu, merangsang ke tulus qalbu.
Dengannya detik dugaan mula menghiris – titis menitis.
Di situ juga bulan mengambang senyuman sedikit pucat
seperti sengaja bertamsil mewangi Ramadhan yang nikmat.

Semua kalung doa sudah dicantum ke hati yang mulia,
dan kerlip permata juga turut disimpan setelah diuji lama
dan kita mulai bersahur dalam suasana penuh berhemah,
pengat manis dijamah dan lauk-lauk tak lupa diratah;
mendamai diri dengan zikir dan solat panjang yang mesra.

Setahun lagi – kini kita sedang dikucupi nafas puasa,
Aidilfitri turut menyerlah dengan senyum seindahnya.

16-30 September 2003.

Posted in Uncategorized | 1 Comment

ELEGI SUNGAI

(i)
Pernahkah kita terdengar
jerit nyilu sungai lesu,
bisik sedu penuh ragu,
raung pilu alam syahdu?

Sungai—alir air bersih,
titis awal embun jernih;
senyum sedih rintih pedih
khazanah bumi kekasih.

Kini sungai menggeletar—
memo rindu tak terhantar;
jerit setulus insani
mengharap seghairah hati.

Pernahkah kita terdengar
berita sedahsyat itu?

(ii)
Telah sebal manusia?
Sungai, sahabat akrabnya,
dicemar segagap gugup
dijerkahnya usah hidup.

Sungai dimuntah kotoran,
cungap oleh kemusnahan;
tragedi alam-insan
wajarlah diperhatikan!

Pernahkah kita mendengar
tangisan sungai tercabar?
Pernahkah kita bertindak
menyembuh sungai tersedak?

Pernahkah kita terdengar
rintihan sesebu itu?

(iii)
Setitis embun nan dini,
mengerdipkan batin sungai;
sehajatnya sanubari
agar seindah tercapai.

Terbenihlah keinsafan
sungai kekasihnya insan;
agar berdakapan mesra
alam serta manusia.

Terdengarkah lirik khabar
senandung sungai terkelar?
Kini sayang serta rindu
sungai dan insan bersyahdu.

Pernahkah kita terdengar
khabar yang seindah itu?

A. SAMAD SAID
10 Mac—21 Julai, 2011.

Posted in Uncategorized | 3 Comments

Butir Zikir, Gugus Surah, Rangkai Tasbih

BULAN Ramadan sejak 2009 menghadiahi saya masa bersyahdu. Beransur tahun, alhamdulillah, saya semakin tersyahdu olehnya. Ada sebabnya. Pengalaman mendadak menemui Haji Ramli Al-Fadil pada musim haji lalu membenihkan sejenis kekhusyukan. Beliau menghadiahkan saya beberapa butir zikir yang semakin mendakap. Katanya, butir zikir itu adalah hadiah daripada Sheikh Abdul Karim Al-Banjari (guru di Masjidil Haram Makkah al-Mukaramah). Selain ayat-ayat terpilih, saya juga dihadiahi seulas tasbihnya sendiri.

Butir zikir, gugus surah serta rantai tasbih—hadiah peribadinya kepada saya. Sejak itu, ayat-ayat surah pilihan itu sentiasa di bibir dan tasbih peribadinya sentiasa di jari setiap ketika saya di atas sejadah. Walaupun saya lebih berusia daripadanya, tapi di dunia ini usia hanyalah panjang waktu. Sedangkan, inti amalan adalah lestari waktu. Makanya, tentu saja lestarinya waktu lebih bererti daripada panjangnya waktu.

Walaupun hadiah daripadanya kelihatan sebusut—tapi yang sebusut itu serasa segunung. Kerana, selepas 2008, permata zikir hadiahnya sentiasa menjadi teman iringan saya yang akrab. Tidak menzikirnya terasa seperti tidak sempurna beribadah. Dan kesan ghaib itu terus membenih, berakar, berbunga, kemudian bertaman di qalbu saya. Kesannya sangatlah damai, malah syahdu!

Benih zikir dan ayat sedemikian menumbuhkan iklim ibadah yang kaya dan wangi. Taman zikir itu, malah, bertambah indah dan harum. Dan di dalam keindahan dan keharumannya itu, lahirlah pula keazaman untuk memperbanyak amalan dan bacaan ayat-ayat lain daripada al-Quran sendiri. Maka tersedarlah bahawa bersubuh semata tidak terpuas diri. Lalu, mekarlah semula solat-solat sunat lain yang pernah dikhusyuki pada tahun ibadah haji 2008 itu.

Makanya, tidaklah terasa selesa jika solat Subuh tidak disambungi solat-solat Isyraq dan Dhuha. Malah tidaklah juga terasa damai jika di celah-celah solat fardu dan sunat tidak dibaca surah-surah al-Sajdah, al-Mulk dan al-Insan.

Demikianlah—semalam tiba-tiba saja saya terkenangkan Haji Ramli Al-Fadil yang tentunya masih syahdu beramal dan berbakti di sebuah desa kecil di Makkah. Mungkin beliau merasa syahdu mengetahui bahawa butir zikir, gugus surah dan rangkai tasbih warisannya sangat bermanfaat kepada saya.

Posted in Uncategorized | 10 Comments